Penanaman Pokok Vanila

Penanaman pokok vanila mungkin akan menjadi salah satu komoditi utama negara selepas ini berikutan pertambahan mendadak jumlah ladang tanaman itu ketika ini.

Ia bukanlah sesuatu yang mustahil memandangkan ramai usahawan tani mula beralih kepada penanaman pokok vanila yang mampu menjana pendapatan antara RM3,000 dan RM5,000 sebulan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rentak Timur Sdn. Bhd., Syed Isa Syed Alwi berkata, sejak dua tahun lalu pihaknya telah memulakan tanaman vanila di 100 lokasi di sekitar Johor, Kedah, Sabah, Sarawak dan Negeri Sembilan.

“Setakat ini, kami mendapat maklum balas yang menggalakkan daripada para pengusaha yang terlibat walaupun ia baru diperkenalkan di negara ini berbanding tanaman lain seperti getah dan kelapa sawit.

“Selain boleh dilakukan secara separuh masa, pokok vanila juga agak lasak dan sesuai dengan iklim Malaysia di samping mampu dituai dalam tempoh tiga tahun sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Seminar Vanila Malaysia Pasaran Dunia dan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Vanilla Biomatrix Sdn. Bhd. di sini semalam.

Tambah Syed Isa, pihaknya menyasarkan penanaman sebanyak lima juta pokok vanila dengan melibatkan kawasan seluas 1,011.7 hektar dalam tempoh dua tahun akan datang sekali gus menjadikan Malaysia pengeluar utama tanaman itu selepas Madagascar dan Indonesia.

“Selain mudah ditanam, pokok vanila juga memerlukan kawasan pertanian yang agak minimum berbanding sektor-sektor lain iaitu 0.607 hektar bagi tiap-tiap 1,000 pokok.

“Bagi memastikan hasrat itu tercapai, kami telah menjalinkan kerjasama dengan UPM, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta MHC bagi membuat kajian serta meningkatkan kualiti tanaman di samping menarik lebih ramai usahawan tani berkecimpung dalam perusahaan ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ismadi berkata, pihaknya akan memperkenalkan sistem Ladang Kontrak untuk menggalakkan penglibatan usahawan dengan tanaman berkenaan.

Fakta:

Vanila adalah sejenis tanaman rempah yang boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan. Penanaman vanila tidak memerlukan kawasan yang terlalu luas tetapi ia memerlukan keadaan yang sesuai serta penjagaan yang rapi. Vanila sangat sensitif kepada keadaan persekitaran maka dengan itu pengetahuan teknikal yang baik adalah amat diperlukan.

Vanila dari variati Vanilla Planifolio Andrews telah dikenal pasti sesuai ditanam di Sabah. Penggunaan vanila adalah meluas dalam industri makanan, perubatan, kosmetik, wangian, tayar, cat dan sebagainya. Dianggarkan bahawa penggunaan vanila asli di dunia hanyalah 3% sahaja manakala 97% lagi adalah vanila sintatik. Dengan kesedaran terhadap penggunaan barangan asli, permintaan vanila asli semakin meningkat.