Pengantin bertubuh gempal

Wanita bertubuh gempal, bersaiz L (besar), XL (lebih besar) atau lebih daripada itu selalunya mengalami kesukaran terutama mencari pakaian. Tidak kira sama ada pakaian ke pejabat mahu pun kasual, masalah menjadi lebih sukar apabila ingin memilih pakaian pengantin sempena majlis raja sehari.

Selalunya, agak menyedihkan apabila ada insan bertubuh besar terpaksa menyarung apa saja koleksi pakaian pengantin yang disediakan walaupun rekaannya tidak menepati cita rasa, tidak sesuai dan tidak berpadanan dengan bentuk tubuh. Bagaimanapun, bagi yang mahu tampil cantik mengikut kehendak, ada yang terpaksa mengeluarkan belanja lebih dengan membelinya sendiri, walaupun hanya memakainya sekali seumur hidup.

pengantin

Berdasarkan pemerhatian dalam pasaran industri perkahwinan, tidak banyak pemilik butik dan pereka pakaian pengantin gemar menyediakan saiz pakaian ataupun gaun pengantin bersaiz L, XL dan XXL. Ini kerana, rata-ratanya berpendapat pakaian yang direka menerusi saiz besar itu tidak akan nampak cantik dan memikat hati pelanggan.

Justeru itu, ia menjadi masalah kepada pengantin bertubuh gempal kerana sukar mencari baju bersesuaian dengan tema untuk majlis bersejarah mereka. Lantaran itu, bakal mempelai terpaksa membuat tempahan atau membeli sendiri pakaian pengantin dikehendaki walaupun memakainya hanya sekali.
PEMAKAIAN gaun putih dan penggunaan aksesori vale atau layah labuh hingga bawah punggung menunjukkan pengantin gempal nampak tinggi.

Jika ingin menyewa pula, tidak banyak pakaian atau gaun yang cantik, menarik dan bersesuaian dengan cita rasa mereka. Terpaksa pula pergi dari satu butik ke satu butik untuk mencari yang sesuai, tetapi secara tidak langsung, ia sudah mengambil masa lama.

Pereka perkahwinan dari Orked Bridal House dari Taman Seri Serdang, Sri Kembangan, Afidah Khamis, berkata bagi mengenal pasti saiz tubuh sama ada besar atau lebih besar ialah ukuran pinggul yang melebihi 40 inci iaitu membabitkan zon L (besar), sementara melebihi ukuran 42 inci pula tergolong dalam lingkungan zon XL ( lebih besar).

Bagi orang biasa, panjang kain yang diperlukan hanya empat meter , manakala mereka yang bertubuh L dan XL menggunakan kain lima meter panjang ke atas.

Afidah berkata, tidak dinafikan kebanyakan butik pengantin tidak menyediakan pakaian pengantin yang disewa untuk saiz besar seperti itu kerana kelihatan tidak cantik. Itulah masalah yang dihadapi kebanyakan pengantin bersaiz besar berikutan tidak dapat menggayakan baju mengikut cita rasa terkini.
PELAPIS dalam baju atau lining bahagian lengan membantu menutupi bahagian gempal dan pengantin nampak sopan.

“Jika menempah baju sendiri mengikut rekaan dikehendaki, mereka pula dikenakan kos tinggi kerana kuantiti kain yang diperlukan lebih banyak dari wanita bersaiz kecil dan sederhana. Sekurang-kurangnya mereka perlu menggunakan kain sepanjang lebih lima hingga enam meter untuk sepasang baju,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Afidah berkata, jenis potongan juga memainkan peranan untuk bakal mempelai tampil mempersona di hari bahagia. Khusus untuk pengantin bertubuh gempal, baju yang dipakai sepatutnya menutupi bawah punggung.

“Contohnya, jika pengantin hendak memakai kebaya pendek, ia tidak boleh terlalu pendek kerana boleh menjejaskan penampilan dan akan nampak lebih besar dan rendah.

“Seeloknya, baju dan kain potongan duyung sangat sesuai kerana ia boleh menyeimbangi bentuk badan, terutama kelebaran punggung. Bagi yang teringin memakai kebaya labuh, potongan kebaya begitu elok kerana terdapat belahan di depan badan. Belahan berkenaan memberi ilusi panjang pada pemakainya.

“Selain itu, pada bahagian tangan pula, mereka lebih sesuai dengan potongan ‘loceng’,” katanya.

Bagi yang ingin menggunakan fabrik lace dan satin sebagai alas, pakaian mereka perlu mempunyai lapik di bahagian dalam sebagai ‘lining’ supaya dapat menutupi bahagian kulit badan yang nampak besar, terutama bahagian lengan.

“Fabrik yang bersesuaian dengan pengantin bertubuh saiz L ke atas, lebih cantik dengan jenis lace lembut kerana ia bakal membuatkan badan mereka lebih kecil kerana ia akan memberi impak jatuh dan fabrik itu melekat pada badan.

“Elakkan fabrik jenis keras seperti kain baldu atau songket yang akan memberi ilusi lebih gempal. Sungguhpun rekaannya cantik bak bidadari, namun kesan ramping pada badan tidak menonjol,” katanya.

Afidah berkata, penggunaan ‘vale’ atau layah kepala juga perlu labuh dari paras pinggang ke bawah. Ini boleh menunjukkan wanita bertubuh gempal nampak tinggi dan bergaya apabila layah melepasi bawah punggung.

“Jika potongan layah berkenaan agak senteng atau singkat, ia menjejaskan penampilan pengantin kerana nampak lebih rendah dari ketinggian asal,” katanya.

Warna juga penting untuk diberi perhatian dalam pemilihan pakaian pengantin. Warna yang paling sesuai perlu mempunyai gabungan antara warna cerah dan gelap untuk keseimbangan.

“Jika ingin memakai warna ungu, pilihan yang sesuai ialah ungu tua atau biru atau biru tua atau gelap kerana warna berkenaan membantu tubuh nampak lebih langsing dan ramping serta lebih kecil daripada saiz sebenar,” katanya.

Pasangan mempelai bak pinang di belah dua, pasti nampak hebat jika tidak memilih material atau warna yang memberi unsur berkilat. Ini boleh menambahkan potongan badan nampak lebih besar akibat pantulan cahaya di bahagian tertentu.

Afidah berkata, menyedari masalah dihadapi mempelai bertubuh gempal, Orked Bridal House tidak ketinggalan menyediakan berbagai rekaan khusus untuk pilihan bakal raja sehari.

“Orked Bridal House tampil merealisasikan impian perkahwinan pelanggan serta membantu memenuhi kehendak mereka tanpa mengira saiz badannya.

“Matlamat kita untuk menjadikan majlis perkahwinan sebagai majlis paling bermakna kerana ia berlaku sekali seumur hidup. Jadi, pastikan potongan pakaian pengantin yang akan digayakan pada majlis bersejarah itu, nampak menyerlah dan semuanya berpuas hati,” katanya.

Terima kasih, Orked Bridal House.
Lokasi: No 150 Jalan 18/19, Taman Seri Serdang, Sri Kembangan, Selangor.
Telefon: 03 89425851.