Penyakit Ekzema (Masalah Kulit)

Kulit berfungsi melindungi organ-organ dalaman badan manusia. Ia juga merupakan organ paling besar.

Walaupun ia berfungsi melindungi tubuh daripada kecederaan, tetapi kulit sangat sensitif. Tahap sensitivitinya berbeza serta bergantung kepada ketebalan epidermis (bahagian luar kulit luar).

Justeru, sebagai organ terbesar yang meliputi bahagian luar tubuh, tidak hairanlah pelbagai masalah timbul pada kulit.

Antara masalah yang sering terjadi ialah penyakit kulit dan ada pelbagai jenis penyakit yang menyerang kulit baik kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Salah satu penyakit kulit yang sering dihadapi ialah ekzema.

Penyakit ini lazimnya akan ‘menyerang’ kanak-kanak. Hampir setiap satu dalam lima kanak- kanak akan menghadapi penyakit tersebut iaitu lebih kurang 15 hingga 20 peratus kanak-kanak di seluruh dunia.

Ekzema menyebabkan kegatalan dan penghidapnya terpaksa menanggung kesakitan selain mengalami tekanan perasaan.

Untuk pengetahuan umum, ekzema merupakan sejenis penyakit kulit yang melibatkan gangguan kepada lapisan pelindung kulit dan menyebabkan reaksi hipersensitif kulit yang menyebabkan radang, gatal-gatal yang melampau (intense itch) dan kulit bersisik.

Menurut Pakar Kanak-Kanak, Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr. Nor Mahani Harun, ekzema yang juga dikenali sebagai dermatitis atopik (AD) merupakan penyakit kulit kronik yang disebabkan keradangan kulit yang berpanjangan.

Ia akan menjadi bertambah buruk dalam tempoh beberapa tahun ataupun sepanjang hayat penghidapnya jika tidak dijaga dan dirawat dengan baik.

Jelasnya, dengan penjagaan kulit yang baik, penghidap penyakit ini boleh mendapat kulit yang sihat.

Ekzema mengakibatkan kulit kekeringan disebabkan kehilangan air dan senang kemasukan allergen yang menyebabkan ketidakselesaan pada kulit.

”Lazimnya ekzema berlaku pada kanak-kanak seawal dua hingga tiga bulan pertama dan lazimnya sebelum kanak-kanak meningkat ke umur lima tahun.

”Terdapat tiga fasa umur yang mengalami ekzema iaitu kosong hingga dua tahun, dua hingga 12 tahun dan dewasa.

”Terdapat sedikit perbezaan dari segi agihan pada kulit mengikut peringkat umur. Bagi bayi, lazimnya penyakit ini akan dikesan pada bahagian muka dan kulit kepala. Manakala untuk golongan remaja atau dewasa, kawasan yang terlibat seperti pelipat di bahagian siku, belakang lutut, buku lali, pergelangan tangan, muka, leher dan atas dada,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya lagi, dalam kebanyakan kes, mereka yang menghidap ekzema adalah disebabkan keturunan dan penghidapnya mungkin terdiri daripada bayi dan juga orang dewasa.

Tetapi bagi bayi, kebanyakannya akan beransur hilang apabila mencapai umur dua tahun iaitu lebih kurang 50 peratus tetapi ada juga yang kekal dan datang berkala.

Tambah beliau lagi, penyakit itu akan menyebabkan kulit kemerah-merahan, berair dan gatal.

Bagaimanapun, ia dikategorikan sebagai bukan penyakit berjangkit dan tidak boleh berpindah daripada seorang bayi ke bayi lain.

Tetapi penyakit ekzema boleh berulang disebabkan jangkitan kuman, tekanan, perubahan cuaca, alahan kepada habuk dan sebagainya

Ulas Dr. Nor Mahani, masalah itu dialami oleh antara tujuh hingga 17 peratus daripada kanak-kanak seluruh dunia dan lebih 50 peratus kanak-kanak yang mengalami ekzema kebiasaannya turut mempunyai kombinasi penyakit asma dan alahan.

Katanya lagi, sebanyak 17 peratus pesakit ekzema diwarisi dari ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali.

Untuk menghindarkan penyakit berulang, pesakit juga dinasihatkan supaya tidak menggunakan sabun biasa, sebaliknya menggunakan sabun pembersih badan atau pencuci bebas sabun yang mengandungi bahan pelembab bagi melembabkan dan mengelakkan kulit kering.

”Pembersih badan mestilah tidak mengalami bahan yang boleh menyebabkan kulit tidak selesa, memudaratkan, merosakkan atau menjejas lapisan pelindung kulit.

”Ini kerana sabun biasa akan mengakibatkan kulit menjadi lebih kering, bertambah gatal dan merosakkan lapisan pelindung kulit.

”Pesakit juga disarankan sentiasa memakai pelembab untuk mengurangkan risiko kulit kering dan menghentikan kehilangan lembapan yang boleh menyebabkan kulit menjadi gatal dan bersisik,” katanya.

Tambahnya, lembapan yang baik mestilah tanpa haruman tetapi kaya emolien dan ia akan menyebatikan air dalam kulit sementara bertindak sebagai lapisan pelindung ketika proses penyembuhan.

Dengan ini ia dapat menghindar daripada jangkitan kuman seperti staphyloccus Aureus, herpes simplex dan ketuat.

Menurut Dr. Nor Mahani, dalam merawat masalah ekzema, mengelakkan kulit daripada kekeringan dan mengurangkan risiko jangkitan kuman ia merupakan perkara yang paling utama.

Ia juga untuk memastikan pesakit merasa aman, tidak gatal, kulit yang cantik dan juga mengajar pesakit untuk merawati diri supaya dapat mengurangkan masalah-masalah tersebut.

Dalam hal ini, pesakit dan orang yang menjaganya perlu diajar mengenai faktor-faktor yang boleh menyebabkan penyakit ini berulang, penyebab dan tanda-tanda di peringkat awal.

Untuk itu, salah satu cara untuk mengurangkan risiko penyakit ini ialah dengan memberi sepenuhnya susu badan sehingga bayi anda sekurang-kurangnya berusia enam bulan.

Bagi mereka yang memberikan susu formula dicadangkan agar memberi susu yang mempunyai protin hidrolis dan memulakan makanan tambahan pada umur lebih daripada enam bulan.

Oleh kerana penyakit ini kronik, rundingan dan nasihat daripada seorang doktor pakar amat mustahak supaya pesakit dan ibu bapanya betul-betul faham mengenai penyakit ini.

Bawalah berjumpa doktor pakar sekiranya anak anda atau anda sendiri mempunyai ciri-ciri menghidap penyakit kulit sekurang-kurangnya sekali bagi memastikan rawatan yang betul.

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA