Penyakit serangan sekatan pulmonari kronik (COPD)

Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD)

Kebelakangan ini, penyakit serangan sekatan pulmonari kronik atau Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD) lebih popular dalam kalangan lelaki berikutan dikaitkan dengan tabiat perokok tegar.

Namun begitu, hasil Tinjauan Kaji Selidik Asia EPIC bertajuk Epidomologi dan Kesan COPD di Asia menunjukkan jumlah perokok tegar di kalangan wanita meningkat lebih 23 peratus. Ia akan menimbulkan bebanan besar di Asia selain menjejaskan mutu produktiviti kerja pesakit tanpa mengira jantina.

Dan, berdasarkan kira-kira lima peratus penduduk negara ini yang berusia 40 tahun di Malaysia, dianggarkan seorang daripada pengidap COPD dikategorikan sebagai `fenotip serius’ iaitu mengalami batuk dan menghasilkan sputum dengan kekerapan penyakit bertambah kronik.

Pesakit kategori ini dianggap sebagai teruk atau sangat teruk, atau pesakit yang menghidap penyakit bronkitis (radang tenggorok) kronik dan mengalami batuk dan menghasilkan kahak (sputum) dengan kekerapan penyakit bertambah lebih dua kali sepanjang tahun.

Kemurungan

Lebih tiga daripada 10 responden di kalangan penganggur di Malaysia langsung tidak dapat bekerja kerana penyakit mereka, manakala enam daripada 10 pekerja sepenuh masa atau sambilan tidak hadir kerja dalam tempoh 12 bulan.

Pengarah Institut Perubatan Pernafasan, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Abdul Razak Abdul Muttalif berkata, biasanya pesakit COPD mengalami gangguan kemurungan akibat hilang keupayaan diri.

“COPD boleh menyukarkan pesakit melakukan kegiatan harian biasa seperti kerja rumah dan mandi bergantung kepada tahap seriusnya penyakit yang ditanggung. Justeru, ia sudah tentu menghalang keupayaan seseorang untuk bekerja apabila penyakit bertambah teruk.

“Serangan paru-paru COPD dikaitkan dengan radang saluran pernafasan dan perubahan fisiologi dalam paru-paru. Antara tanda-tandanya seperti sesak nafas, batuk kronik, pengeluaran lendir atau hingus, kelesuan terlampau dan tanda kemerosotan kesihatan,” katanya.

Tinjau Selidik EPIC Asia mendedahkan dalam tempoh 12 bulan lalu, responden di Malaysia kekal dalam rumah secara purata 67 hari kerana penyakit mereka; 46 peratus mengalami serangan paruparu; satu daripada empat responden di Malaysia mengunjungi bilik kecemasan hospital kerana penyakit mereka dan lebih satu daripada empat membuat kunjungan kecemasan yang tidak terjadual menemui doktor.

Hasil kajian ECLIPSE (Penilaian COPD Secara Longitud untuk Mengenal Pasti Titik Akhir Gantian Boleh Ramal) selama tiga tahun menunjukkan keperluan strategi rawatan masa depan bagi menggalakkan pesakit COPD merancang dan mencegah penularan penyakit tanpa mengira tahap keseriusan penyakit mereka.

Terbaru, rawatan pertama dikelaskan ubat oral sebagai terapi anti keradangan, Daxas (roflumilast) dikatakan alternatif mengurangkan risiko serangan paru-paru sekali gus asas mencegah penyakit COPD.

Pendekatan baru, Roflumilast adalah merangsangkan enzim menerusi kaedah tindakan unik perencatan enzim fosfodiesterase 4 (PDE4) sekali gus mengurangkan aktiviti keradangan sel. Kesannya, mengurangkan risiko COPD bertambah teruk sekiranya digunakan bersama terapi penyenggaraan utama.

Ketua Unit Respiratori, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Profesor Dr Roslina Abdul Manap berkata berdasarkan laporan kajian roflumilast mampu menstabilkan pesakit yang kerap mengalami COPD teruk.

“Analisis terkumpul posthoc rawatan roflumilast bagi dua kajian kawalan plasebo selama setahun ke atas 1,500 pesakit COPD teruk, bronkitis kronik dan sejarah serangan paru-paru COPD, menunjukkan risiko pengurangan pengekalan sebanyak 20 peratus. Dan untuk pesakit dikategorikan kerap mengalami COPD bertambah teruk, dan yang tidak kerap mengalami penyakit bertambah teruk (23 peratus).

“Rawatan dan pengetahuan mengenai COPD berkembang maju beberapa tahun kebelakangan ini. Kami faham bahawa serangan paru-paru COPD meningkatkan kadar kurang sihat dan kematian pesakit.

“Setakat ini, tiada penawar bagi COPD atau rawatan untuk memulihkan kesannya terhadap paru-paru namun, rawatan dan pengurusan betul membantu penghidap COPD meningkatkan kualiti kehidupan dan memperlahankan penularan penyakit bermasalah ini,” katanya.

Paru-paru seperti `diramas’

“Masa remaja memang seronok. Terasa hebat apabila mampu hisap 30 hingga 40 batang rokok sehari disusuli gaya hidup sosial seperti `minum’. Lengkap pakej menempah seksa kesakitan berpanjangan. Dunia terasa kelam apabila disahkan menghidap COPD pada 1997 apabila paru-paru terasa menegang seperti `diramas’.

“Sejak itu, saya hilang keseronokan hidup malah, diganti perasaan kesal. Dalam tempoh tujuh bulan terawal ini saja, saya terpaksa hadapi enam kali serangan sistemik,” kata pesakit batuk perokok, Shahrom Zainal Abidin.

Berusia 71 tahun, pesakit dilahirkan dalam keluarga moden sekitar ibu kota itu tidak pernah menyangka tanda awal dihadapi seperti batuk berlarutan, kesukaran bernafas, gelisah apabila keadaan cuaca terlampau sejuk dan panas adalah penyebab COPD kerana sentiasa cergas bergerak aktif.

Mengulang kembali detik sukar, Shahrom berkata, dia pada mulanya dikesan menghadapi serangan bronkitis asma sekitar 1993 sebelum disahkan menghidap penyakit sekatan pulmonari kronik atas rujukan doktor ke Institut Respiratori pada 1997.

Sejak itu, beliau mengalami sindrom hilang keupayaan badan, kurang cergas dan kekejangan tanpa mengetahui ia kesan daripada penyakit batuk perokok.

Malah, kemuncak serangan COPD terjadi pada 1998 hingga memaksa bapa kepada empat anak ini mendapatkan bantuan pakar psikiatri akibat masalah kecelaruan (anxiety).

Jelasnya, kesan merokok hanya muncul selepas 20 tahun menjalani tabiat merokok meskipun mula terjebak pada usia 16 tahun.

Kurang pendedahan pendidikan mengenai penyakit membuatkan dia lambat sedar komitmen tabiat merokok terlampau lama berisiko merosakkan paruparu, kerap sesak nafas terutama jika bersenam, dada berasa ketat dan kerap mengalami jangkitan pernafasan.

Cara rawatan berkesan menyembuhkan penyakit COPD iaitu berhenti merokok atau jangan merokok hanya diketahui atas nasihat doktor.

Nekad mengubah gaya hidup menerusi tindakan drastik berhenti merokok dalam tempoh 24 jam sekali gus menjalani senaman memulihkan saluran pernafasan, Shahrom mengingatkan masyarakat terutama perokok tegar berfikir ancaman asap rokok kepada diri sendiri dan orang lain.

“Berfikirlah sebelum merokok kerana anda menyebarkan asap rokok sekali gus mengheret risiko membahayakan nyawa kepada orang lain.

“Praktikkan senaman pernafasan sekerap mungkin nescaya, kehidupan anda lebih sihat dan gembira.

“Kegemaran menari membantu saya mengatasi masalah pernafasan dan bergerak aktif walaupun mengalami kecacatan akibat polio (penyakit bawaan virus Poliovirus berisiko menyebabkan lumpuh) di kaki kiri dan kaki kanan dimasukkan besi akibat kemalangan,” ujar Shahrom mengakhiri perbualan bersama kolum Sihat, baru-baru ini.

INFO COPD

- Maksud mudah ialah penyakit paru-paru progresif dengan kadar penularan tertinggi berbanding penyakit lain.

- Gejala umum iaitu sesak nafas, pengeluaran kahak (campuran air liur dan hingus dalam salur udara) dan batuk kronik.

- Berpunca daripada peningkatan tindak balas keradangan tisu paru-paru akibat pendedahan berpanjangan kepada pencemaran udara, asap rokok, penggunaan ketuhar dan pemanas kayu atau arang batu dalam rumah.

- Peningkatan keradangan menjejaskan perubahan struktur dan menyebabkan progresif saluran pernafasan.

- Kesannya, masalah pernafasan kronik dan kehilangan upaya jangka panjang.

- Penyakit ini dijangka menjadi punca kematian ketiga paling utama di dunia menjelang 2030.

- Hampir separuh daripada mereka yang mengalami gejala COPD di negara yang ditinjau selidik masih belum disahkan penyakitnya.

- Tinjauan dijalankan syarikat farmaseutikal global, Takeda itu membabitkan 1,800 responden yang mengalami COPD dengan 200 daripadanya responden dari Malaysia membabitkan tinjauan skop beban, persepsi dan kefahaman penyakit progresif yang berisiko mengancam nyawa.

- Sebahagian besar pesakit bimbang serangan COPD menjejaskan kualiti kehidupan mereka.