Peperiksaan bukan penentu jalan hidup

Peperiksaan bukan penentu jalan hidup
Apabila keputusan peperiksaan rasmi negara diumumkan sama ada UPSR, PMR, SPM atau STPM, ia mendapat liputan meluas media. Biasanya berita keputusan peperiksaan mendapat tempat di muka depan akhbar dan menjadi berita khas dalam slot rancangan pendidikan.

Mereka yang berjaya di temuramah mengenai rahsia kejayaan cemerlang. Wajah ceria mereka menghiasi media cetak dan elektronik. Di media sosial, umpamanya di Facebook keputusan anak yang memperoleh deretan A dan A+ diletakkan di `wall’ ayah dan ibu mereka.

Dalam kalangan masyarakat juga keputusan peperiksaan akan menjadi bualan hangat. Bagi ibu bapa yang meraikan kejayaan kecemerlangan anak, ia satu kebanggaan keluarga. Mereka mendapat curahan ucapan tahniah daripada pelbagai pihak.

Bagi yang kurang cemerlang, mereka akan hanya tersenyum apabila ditanya mengenai keputusan peperiksaan dan tidak banyak membicarakannya.

Dalam kegembiraan menyanjung mereka yang cemerlang, pernahkah kita terfikir mengenai mereka yang tidak mendapat keputusan membanggakan? Bagaimana reaksi mereka ketika mendapat tahu mengenai keputusan yang kurang cemerlang itu.

Jarang ambil peduli

Ada antara mereka menangis, terketar-ketar dan pelbagai reaksi lagi. Namun jarang yang ambil peduli mengenai kekecewaan anak dan pelajar yang sedang bergelut dengan perasaan takut dan bersalah kerana mendapat keputusan yang tidak pernah mereka jangkakan.

Tidak hairanlah ada berita pelajar bunuh diri dan lari dari rumah selepas keputusan peperiksaan diumumkan. Kes seumpama ini bukan isu baru setiap kali negara meraikan keputusan pencapaian akademik terbaik.

Bila dikaji dan dibuat tinjauan secara rambang didapati ada ibu bapa yang terlalu mementingkan pencapaian akademik dan memberi tekanan kepada anak untuk mendapat keputusan cemerlang walaupun kemampuan anak tidak sampai ke tahap berkenaan.

Anak menjadi begitu tertekan. Mereka mahu buat yang terbaik untuk ibu bapa dan keluarga, tetapi kerana gagal berbuat demikian mereka akhirnya mengambil keputusan menghukum diri.

Paradigma ibu bapa yang terlalu berorientasikan peperiksaan menyebabkan ramai pelajar menjadi fobia setiap kali musim peperiksaan dan waktu pengumuman keputusannya.

Ada antaranya sudah diberikan amaran oleh ibu bapa sekiranya gagal memperoleh keputusan baik, mereka akan dikenakan beberapa tindakan dan hukuman.

Mereka ibarat melihat satu pintu saja dalam pendidikan anak. Bagi mereka, gagal mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan umum negara menandakan kegagalan untuk meneruskan kehidupan pada masa depan.

Ceburi bidang lain

Pada hakikatnya anak yang kurang menyerlah dalam akademik ini sebenarnya masih boleh menceburi bidang lain seperti kemahiran dan keusahawanan yang boleh menjamin masa depan.

Pemikiran mereka ini disempitkan dengan orientasi peperiksaan, sehingga ada yang beranggapan jika gagal SPM atau STPM, masa depan akan gelap.

Perlu diingat, pendidikan akademik semata-mata belum tentu dapat melahirkan insan yang syumul. Anak perlu juga diseimbangkan dengan ilmu agama yang dapat membentuk peribadi mulia dari sudut spiritual dan pembentukan akhlak baik.

Benar kata pepatah, pengalaman adalah guru yang terbaik dalam kehidupan. Justeru, Ibu bapa seharusnya menjadi semangat dan dahan berteduh kepada anak yang kurang cemerlang dalam pencapaian akademik.

Seperti kata pepatah, `setandan pisang tak semuanya masak sama’. Maknanya anak juga mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Jangan selalu membandingkan pencapaian akademik anak itu dengan adik-beradik lain.

Peranan ibu bapa amat penting dalam mencungkil bakat yang ada dalam diri anak untuk diperkembangkan. Beri anak kebebasan memilih bidang yang mereka suka, Pupuk bidang dan kebolehan mereka sejak kecil. Pantau mereka dan beri kasih sayang serta seimbangkan ilmu akademik dan pengetahuan agama dalam diri mereka.

Apabila mereka tahu ibu bapa memahami apa yang mereka mahu dalam hidup dan ibu bapa juga menjadi pembimbingnya insya-Allah, mereka boleh cemerlang dalam apa juga bidang yang diceburi dan juga cemerlang dalam kehidupan.

Oleh Hariyati Ariffin
* Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam