Perkahwinan Tradisi India : Masih kekal dengan adat

Pemodenan tidak menghalang masyarakat Hindu di negara ini mengekalkan adat tradisi perkahwinan mereka tetapi dipermudahkan sesuai dengan peredaran zaman.

“Semoga perkahwinan ini mendapat kebahagiaan hingga ke akhir hayat. Setiap pasangan dapat menghormati mertua masing-masing. Kedatangan menantu dalam sebuah keluarga mampu mendapat banyak tuah dan mempunyai bilangan cahaya mata yang ramai.”

Begitulah antara kata-kata yang diungkapkan oleh seorang sami dalam bahasa Sanskrit sebaik kedua-dua mempelai selamat disatukan sebagai suami isteri.

Selain adat dan ritual dalam perkahwinan masyarakat India, majlis menyatukan dua hati itu tidak berakhir di situ.

Selepas bacaan mantera sami itu, kedua-dua mempelai akan bertukar mengikat thali, diikuti kalungan bunga sebelum mengelilingi api sebanyak tujuh kali yang melambangkan tujuh kelahiran.

Kemudian mereka akan saling menyarungkan cincin di jari kaki sebelum mendapat restu daripada ibu bapa dan saudara-mara kedua-dua belah pihak.

Di sebalik pemodenan hari ini, masyarakat Hindu masih mengekalkan adat budaya dan tradisi perkahwinan mereka.

Walaupun ada yang melihat adat adalah sesuatu yang agak remeh, namun itulah keistimewaan dan keindahan perkahwinan mempelai yang beragama Hindu.

Ketelitian adat perkahwinan itu bermula daripada proses lamaran, pertunangan, memilih tarikh perkahwinan mengikut bintang, majlis mandi kunyit dan mendapat restu keluarga lima atau tiga hari sebelum perkahwinan sehinggalah upacara perkahwinan yang sarat dengan istiadat.

THAALI merupakan lambang suci perkahwinan yang dikalung pada leher pengantin perempuan.

“Upacara perkahwinan masyarakat India di negara ini secara keseluruhannya masih dikekalkan dengan adat-adat tradisi bagaimanapun dalam hal-hal tertentu ia dipermudahkan mengikut peredaran zaman.

“Perkara asas dalam perkahwinan masih ada tetapi di India ia lebih meluas kerana kelengkapan perkahwinan di sini tidak sehebat di India,” kata Pensyarah Jabatan Pengajian India Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. M. Rajantheran

Kata beliau, tidak kira sama ada keluarga itu daripada golongan Cettiar (ceti) mahupun Tamil, upacara yang dijalankan tetap sama. Mungkin perbezaan hanya dari segi majlis yang diadakan samaada secara besar-besaran atau sederhana.

Katanya, kelainan yang dapat disaksikan apabila kaum India mula mengikut budaya memberi hadiah yang lazimnya menjadi sebahagian daripada amalan perkahwinan kaum Melayu.

Kepada pengacara sebuah program bual bicara Vaanavil, di Astro, Sushmeetha Morugan juga mempunyai memori perkahwinan yang cukup indah. Perkahwinannya dengan jejaka dari India, Arunkumar Sethuraman, 31, bukan sahaja mengikut adat sepenuhnya bahkan majlis tersebut dilangsungkan di India.

HANTARAN yang terdiri daripada kalungan bunga, sari, buah-buahan dan barang kemas untuk pengantin perempuan.

“Majlis perkahwinan di India lebih teliti dan banyak adat ritualnya. Majlis perkahwinan kebanyakannya masih diadakan di kuil dengan jamuan dihidangkan di atas daun pisang.

“Sebaliknya majlis perkahwinan di Malaysia sedikit moden seperti diadakan di hotel kerana segala-galanya tersedia,” katanya sambil memberitahu belum ada ahli keluarganya yang melangsungkan majlis perkahwinan di India.

Mengenali suaminya menerusi laman interaktif sosial Friendster sejak tiga tahun lalu, majlis yang diadakan pada Disember 2008 itu beritahu Sushmeetha, seramai 30 orang ahli keluarganya terbang ke Madurai, India untuk majlis itu sementara ibu bapa Arun sememangnya menetap di India.

Persiapan majlis

Menceritakan keindahan tradisi perkahwinan masyarakat India, Sushmeetha, 29, berkata, setelah kedua-dua keluarga bersetuju dengan pasangan masing-masing, mereka mula sibuk dengan sesi pemilihan tarikh mengikut kepercayaan kaum India.

Upacara menilik bintang begitu diutamakan memandangkan gerbang perkahwinan tidak boleh dipandang remeh.

“Kaum wanita dianggap suci dan perlu diberi penghormatan sebaik mungkin. Antara pantang larang yang perlu dipatuhi termasuklah pengantin lelaki dan wanita tidak boleh bersemuka antara tiga atau lima hari sebelum majlis perkahwinan,” ceritanya.

Menceritakan detik-detik persiapan, Sushmeetha terpaksa berhubung dengan keluarga pihak lelaki menerusi Internet tidak pernah berhadapan dengan masalah seperti perselisihan pendapat.

Meskipun ibu mertuanya berasal dari India dan ingin mengamalkan perkahwinan mengikut adat budaya lama, beliau dan keluarganya tidak membantah.

“Keluarga saya memang mementingkan adat resam, jadi segala persiapan berjalan lancar daripada kedua-dua belah pihak,” jelasnya.

Selepas meneliti tarikh sesuai untuk memetrai perkahwinan, antara persiapan utama yang perlu dititikberatkan ialah kad jemputan, penyediaan thaali dan mukuurtta kaal.

Kad jemputan dianggap cukup istimewa kerana yang sudah siap dicetak akan disapu dengan serbuk kunyit cair sebagai lambang keharmonian.

Terang Sushmeetha, setiap majlis yang ingin diadakan haruslah dijemput menggunakan kad berlainan. Jadi tidak mustahil jika dia dan suaminya mempunyai empat kad jemputan bagi empat majlis berlainan.

“Saudara-mara ternanti-nanti kad jemputan perkahwinan. Kalau tidak ada kad mungkin mereka tidak akan datang.

“Di dalam kad jemputan itu akan tertera dua bahasa iaitu bahasa Tamil dan bahasa Inggeris,” jelasnya yang melangsungkan perkahwinan di Madurai Sri Meenakshi Sundareswarar Amman Temple, Madurai, India.

Anak kedua daripada lima adik-beradik itu amat bertuah apabila keluarga lelaki mengadakan majlis khas dengan menjemput tukang emas untuk membuat thaali. Thaali merupakan lambang suci perkahwinan yang dikalungkan pada leher pengantin perempuan.

Biasanya thaali yang diperbuat daripada emas akan disambungkan hujungnya dengan segumpal ikatan benang putih yang disapu kunyit.

“Thaali tidak semestinya diperbuat daripada emas ia bergantung kepada kemampuan keluarga lelaki,” terang Sushmeetha.

Disebabkan mengagungkan kehadiran orang baru, kediaman pengantin lelaki akan menjalankan adat mukuurtta kaal. Adat tersebut memerlukan sebatang pokok yang masih muda dan lurus akan ditebang dan ditanam di hadapan rumah.

Tujuannya ialah untuk memberitahu orang kampung bahawa keluarga tersebut akan mengadakan majlis perkahwinan dan menerima menantu. Lazimnya bahan-bahan seperti sirih pinang, kum kum dan kunyit turut digunakan.

Ikatan suci

“Ahli keluarga pengantin akan memohon kepada Tuhan supaya perkahwinan dapat dilangsungkan tanpa sebarang gangguan. Batang kayu tersebut akan dibersihkan terlebih dahulu dan kulitnya dibuang.

“Selepas itu batang tersebut akan dicat dengan warna merah dan putih secara berselang-seli serta dipacakkan sedalam setengah meter, manakala bahan-bahan tadi akan ditanam ke dalam lubang tersebut sebagai lambang kekayaan,” ungkapnya lagi.

Bagaimanakah acara perkahwinan bermula? Upacara perkahwinan dimulakan oleh sami dengan berdoa supaya pengantin hidup bahagia hingga hari tua. Sami akan menabur sembilan jenis bijirin sebaik acara menyarung cincin selesai. Pengantin lelaki akan mengalungkan thaali yang dibuat khas dengan mengikatnya kepada pengantin perempuan hingga ke paras dada.

Sesi bertukar dulang diteruskan dengan memilih dua dulang yang mempunyai keistimewaan. Setiap keluarga akan memilih dulang yang berisi kain sari dan barangan kemas.

Kain sari akan dipilih secara teliti dan harga memainkan peranan penting. Mereka sanggup menghabiskan wang yang banyak untuk sehelai sari.

Selepas upacara itu, kedua-dua mempelai memberi penghormatan kepada ibu bapa atau mertua dengan bertukar-tukar dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci di dahi pengantin antara satu sama lain.

Upacara diteruskan dengan memberi penghormatan. Kedua-dua pengantin perlu menyembah kaki orang paling tua dalam keluarga iaitu ibu bapa, nenek atau datuk.

Masa merupakan antara faktor penting yang perlu diambil kira sebelum upacara perkahwinan dilangsungkan.

“Masa yang ditetapkan perlu dipatuhi kerana waktu yang telah dipilih itu mempunyai pelbagai kebaikan,” jelas Arun bahawa pengantin dan tetamu dijamu dengan menu sayur-sayuran.

Antara hidangan yang disediakan ialah acar, dal, bendi, papadom, kesari dan laddu.

“Di India sajian untuk majlis perkahwinan adalah 100 peratus sayur-sayuran. Itu merupakan keunikan majlis di India,” katanya.

Oleh AQMAR ALLADAD