Petua memilih kelengkapan untuk ruang sempit

Kesempitan ruang boleh menimbulkan masalah atau kesulitan untuk memilih kelengkapan dan menghiasi kondominium atau pangsapuri moden. Oleh itu, perancangan yang rapi sangat penting. Idea berikut sedikit sebanyak boleh membantu anda memilih kelengkapan yang sesuai untuk ruang yang terhad.

Apakah kesilapan yang paling kerap dilakukan oleh pemilik rumah apabila membeli perabot untuk pangsapuri kecil?

Jawapan yang biasa diberikan: “Ketika di kedai, ia tak nampak sebesar ini!” Petua pertama: Jangan terburu-buru. Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna! Paling penting, rancangkan terlebih dulu apa yang anda ingin lakukan, dengan membuat lakaran, disertakan ukuran tepat dan lokasi semua pintu dan tingkap.

Bawa lakaran ini bersama apabila anda ke kedai perabot dan minta pembantu kedai atau jurujual memberikan ukuran tepat perabot yang anda inginkan. Terlebih atau terkurang 10 sentimeter sekalipun boleh membawa perbezaan besar seperti membolehkan anda membuka pintu dengan betul atau sebaliknya, menyebabkan laluan terhalang dan sebagainya.

Tanpa perancangan, memang mudah untuk melakukan kesilapan membeli perabot yang terlalu besar untuk ruang kediaman anda, kerana ruang kedai yang besar boleh menjadikan perabot tampak lebih kecil.

Apakah yang perlu anda fikirkan apabila melengkapkan ruang pangsapuri yang sempit?

Pertama sekali, pastikan bentuk ruang kediaman anda. Pilih perabot yang memberikan lebih fleksibiliti untuk membolehkan anda menggunakan sepenuhnya ruang yang ada tanpa menimbulkan kesesakan.

Sebagai contoh, anda tidak perlu membeli sofa dengan susunan biasa tiga dan dua tempat duduk, sebaliknya anda boleh memilih sofa dengan susunan 3+1+1 tempat duduk kerana ini memberi anda lebih fleksibiliti.

Kini, semakin ramai pelanggan zaman lebih cenderung memilih perabot berasingan bagi menggantikan set perabot sedondon, untuk menampilkan gaya individu dan tersendiri. Tentukan terlebih dulu tema ruang kediaman anda, sama ada sentuhan Zen, campuran rotan dan anyaman, atau gaya retro kulit yang lebih maskulin.

Perabot tersendiri lazimnya bukan saja lebih kecil daripada set biasa yang seragam, malah tampak kurang tersergam dan kurang memerlukan ruang. Ia juga membolehkan anda memperlihatkan kelainan dan gaya anda yang unik. Rangkaian perabot gaya hidup Courts, umpamanya, menawarkan pilihan perabot sebagai satu koleksi atau secara berasingan.

Adakah ruang yang kecil bermakna anda terpaksa mengurangkan perabot dan aksesori?

Tidak semestinya! Ia hanya bermakna anda perlu merancangkan dengan lebih teliti dan menimbangkan segala pilihan yang ada. Pilihan anda mestilah praktikal dan memberi keselesaan kepada seisi keluarga.

Bagaimanapun, jangan menyemakkan ruang kediaman utama anda dengan perabot berlebihan semata-mata untuk menyimpan barang-barang. Cuba maksimumkan penggunaan ruang yang kurang digunakan untuk menyimpan barang dan pindahkan semua barang yang tidak penting ke dalam bilik ini.

Apakah muslihat dan petua yang perlu anda ketahui untuk memanfaatkan sepenuhnya ruang terhad yang anda miliki dalam pangsapuri?

Penggunaan ruang secara berkesan amat penting. Sebagai contoh, untuk bilik tidur, rangkaian kelengkapan Gino Courts yang inovatif dan menjimatkan kos membolehkan anda mewujudkan ruang simpanan secara menegak, dengan penggunaan kotak atas atau almari pakaian hingga ke siling untuk memaksimumkan ruang.

Jangan biarkan ruang bawah katil kosong dan berhabuk kerana tidak digunakan. Pilihan katil dengan ruang simpanan di bawahnya memberi anda ruang simpanan yang sama besar dengan tiga almari pakaian tanpa perlu menambah perabot lain.

Satu lagi cara lama untuk menggunakan ruang bawah katil ialah dengan meletakkan laci simpanan barang. Rangkaian Madonna Courts menggabungkan ruang simpanan dengan reka bentuk perabot bilik tidur yang praktikal lagi menarik.

Pemilihan perabot yang betul bukan saja boleh membawa perbezaan yang besar kepada rupa dan gaya ruang kediaman anda, bahkan membolehkan anda mencipta suasana lapang tanpa menjejaskan keperluan praktikal.

Perabot kontemporari pada asasnya direka bentuk untuk kediaman bandar dan ruang yang lebih kecil. Bahan moden seperti kaca dan aluminium yang digabungkan dengan reka bentuk kontemporari menghasilkan perabot yang cantik dipandang mata, kukuh dan praktikal, tanpa menambah kesesakan yang sering dikaitkan dengan perabot dengan reka bentuk tradisional.

Lampu dan aksesori lain juga penting dalam semua bilik. Gunakan lampu secara kreatif untuk mencipta ilusi ruang yang luas. Terangkan sudut gelap dengan cahaya lampu yang menghala ke atas. Cara ini juga berkesan untuk menerangi siling yang gelap.

Peraturan paling penting dalam pemilihan kelengkapan atau aksesori untuk ruang kediaman yang kecil ialah kesederhanaan. Jangan lari daripada tema. Kurangkan kesesakan untuk mewujudkan lebih ruang dan memberi keselesaan.

Jangan serabutkan tingkap dengan hiasan langsir yang keterlaluan. Langsir warna gelap atau bercorak berat tampak mengongkong tingkap dan mengecilkan ruang. Pilih fabrik ringan atau voile atau kasa separuh jarang untuk menyerlahkan tingkap dan membolehkan cahaya masuk ke dalam bilik.

Bila menggunakan cermin untuk menambah visual keluasan ruang, apakah perkara yang perlu diteliti?

Penggunaan cermin adalah cara yang baik untuk memantulkan cahaya ke sudut lebih gelap dan menjadikan ruang tampak lebih besar. Bagaimanapun, pastikan silauan cermin sentiasa di tahap minimum dan sudut cermin tidak mendedahkan longgokan atau simpanan barang ‘tidak rasmi’ yang mungkin berselerak di belakang sofa.

Adakah warna membantu menjadikan ruang dalam rumah tampak lebih luas?

Penggunaan warna secara betul boleh mengubah gaya dan suasana dalam rumah. Bila memilih warna, sentiasa sesuaikan dengan jumlah cahaya yang masuk ke dalam mana-mana ruang dalam rumah anda.

Warna keras yang menambah perwatakan kepada bilik yang terang boleh menggelap dan mengecilkan ruang dalam bilik yang kurang cahaya. Warna keras sesuai digunakan sebagai penyerlah, manakala warna lembut pada permukaan besar seperti dinding, cadar dan upholsteri memantul, bukan menyerap cahaya, dan memberikan ilusi ruang yang luas.

Ia juga bagaikan mencipta kanvas kosong yang membolehkan anda menyuntik warna dan reka corak menerusi kelengkapan atau aksesori dalam bilik. Gambar warna terang dan menonjol pada dinding, dengan kusyen tabur dan ambal kecil akan menambah sentuhan peribadi dan memberikan imbangan yang betul antara minat dan keperluan untuk mencipta ruang yang tampak dan terasa besar dan selesa.

Apakah warna yang pantang digunakan dalam ruang kecil?

Tiada pantang larang dari segi warna. Anda hanya perlu memilih dengan berhati-hati supaya tidak mendatangkan kesan kesesakan dan kesempitan ruang. Dengan beberapa petua di atas, anda pasti dapat melengkapkan rumah impian anda dengan perabot dan aksesori yang selesa, kemas dan menarik.

Rencana ini ditulis oleh Paul Fudon, Pengarah Pembelian Perabot, Courts Mammoth.