Pilihan destinasi dan aktiviti menarik pada musim cuti sekolah

CUTI sekolah datang lagi! Ketika ini, ibu bapa mungkin sudah pun merancang membawa anak-anak bercuti dan memanfaatkan masa bersama. Sisipan Sabtu kali ini menyenaraikan destinasi percutian yang boleh menjadi pilihan anda sekeluarga. Daripada keindahan flora dan fauna, kedamaian laut dan kecanggihan sains dan teknologi (S&T) – semuanya boleh dikongsi bersama anak-anak yang menantikan detik indah bersama.

Kuala Lumpur/Wilayah Persekutuan Putrajaya

Zoo Negara, Hulu Klang

Destinasi wajib musim cuti sekolah! Tarikan lebih 5,000 haiwan dari 459 spesies mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan di habitat terpelihara tentu menggamit si kecil. Lebih istimewa, pengurusan zoo menganjurkan karnival kanak-kanak mulai hari pertama cuti sekolah, Sabtu depan hingga 24 Ogos. Karnival sembilan hari yang disertai 20 syarikat pengeluar produk dan perkhidmatan kanak-kanak ini menjanjikan 1,001 keseronokan. Segmen persembahan istimewa haiwan, pameran termasuk memberi haiwan makan menanti pengunjung terutama kanak-kanak.

Waktu operasi : Setiap hari dari 9 pagi hingga 5 petang. Hujung minggu dan cuti am dari 9 pagi hingga 10.30 malam

Harga tiket : Dewasa RM15. Kanak-kanak RM6. Kanak-kanak sekolah beruniform RM4. Kumpulan kanak-kanak lebih 30 orang RM4 seorang. Caj letak kereta RM4

Bagaimana ke sana : Naik Putra LRT ke Stesen Wang Maju, Setapak. Dari sini, pengunjung boleh memilih menaiki teksi atau bas Rapid KL U34 ke Zoo Negara. Naik Putra LRT ke Stesen Titiwangsa dan anda boleh menaiki bas Rapid KL U23 ke Zoo Negara.

Petrosains – The Discovery Centre, Kuala Lumpur City Centre (KLCC)

Pusat penerokaan sains interaktif ini tidak pernah mengecewakan. Menjanjikan pengalaman pembelajaran sekeluarga daripada anak hingga ke ibu bapa, Petrosains terus merangsang minda masyarakat terhadap keajaiban bidang sains dan teknologi (S&T). Sempena cuti sekolah, 10 pengunjung pertama yang membawa keratan iklan Wall-E yang diperoleh dari akhbar utama keluaran 22 Julai lalu hingga 31 Ogos depan, akan menerima dua pas filem, Wall-E. Selain itu, program ‘Everyday-Chem-mystery’ dan pertunjukan sains seperti Soda Pop Show, Kitchen Glue dan Balm Me turut diadakan.

Waktu operasi : Setiap hari (kecuali Isnin) dari 9.30 pagi hingga 5.30 petang. Hujung minggu dan cuti am dari 6.30 pagi hingga 6.30 petang

Harga tiket : Dewasa (18 tahun ke atas) RM12. Remaja (13 hingga 17 tahun) RM7. Kanak-kanak (lima hingga 12 tahun) RM4. Warga emas (RM6). Pakej keluarga (dua dewasa dan dua kanak-kanak) RM24

Bagaimana ke sana : Naik Putra LRT ke Stesen KLCC, bas henti-henti RapidKL (NoU21, U22, U26, U28, U29, U30, B105 dan B114); Bas Metro (No 28, 76, 78, 79) dan Bas SJ (No 28 dan 79) serta teksi.

Pertandingan Bunga Api Antarabangsa (MIFC) 2008, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya

Masih ingat pertandingan sama yang dianjurkan tahun lalu? MIFC memasuki tahun kedua disertai empat negara termasuk Malaysia, iaitu China, Kanada dan Sepanyol. Pertandingan ini bermula Selasa ini hingga 29 Ogos depan di perkarangan PICC. Berita baik untuk semua, tidak ada caj atau bayaran tiket dikenakan kepada penonton. Pencarian kumpulan bunga api terbaik bermula dengan persembahan pasukan Malaysia pada jam 9.30 malam Selasa ini, diikuti China (16 Ogos), Kanada (20 Ogos) dan Sepanyol (24 Ogos). Australia yang muncul juara edisi pertama dijadual membuat persembahan penutup pada 29 Ogos.

Waktu persembahan : 9.30 malam mulai Selasa ini, 16, 20 dan 24 Ogos. Manakala upacara penutup dan pengumuman pemenang pada 29 Ogos.

Harga tiket : Percuma

Bagaimana ke sana : Jika mahu memandu ke Putrajaya, anda disaran datang awal untuk mencari lokasi terbaik melihat bunga api. Patuhi arahan polis dan papan tanda arah kerana semua laluan menghala ke PICC akan ditutup mulai jam 6 petang pada hari persembahan. Tempat letak kereta disediakan di Presint 4 serta kawasan berhampiran Perbadanan Putrajaya dan Mahkamah Keadilan (POJ). Bas transit disediakan bagi membawa penumpang dari Stesen Putrajaya Sentral (bagi yang memilih menaiki ERL dari KL Sentral) dan tempat letak kereta ditetapkan. Bas transit membawa penumpang ke Dataran Gemilang bagi melihat percikan bunga api.

Cruise Tasik Putrajaya, Putrajaya

Mahu menyusuri panorama indah Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan melalui bot persiaran di Tasik Putrajaya? Dengan menaiki bot persiaran Cruise Tasik, anda dapat melihat lebih dekat mercu tanda artistik serta tarikan lain di bandar pintar ini. Tasik buatan manusia seluas 650 hektar ini tentunya memukau dan menguji imaginasi anda sekeluarga. Sempena cuti sekolah, Cruise Tasik menganjurkan acara Fun@CTP yang antara lain menyediakan program menarik untuk si kecil seperti bengkel origami, melukis dan kuiz pop. Selain itu, pakej keluarga juga disediakan untuk makan malam atas bot dan bersiar-siar.

Waktu operasi : Setiap hari dari 11 pagi hingga 6 petang (hari biasa untuk bot persiaran Perahu Dondang Sayang). Hujung minggu dari 11 pagi hingga 7 malam

Harga tiket : Pakej dua orang dewasa RM46 dan dua orang kanak-kanak RM30 (promosi cuti sekolah)

Bagaimana ke sana : Memandu ke Putrajaya atau menaiki ERL ke Stesen Putrajaya Sentral. Kemudahan bas Nadiputra boleh membawa anda ke Cruise Tasik bersebelahan Masjid Putra.

Selangor

Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Kuala Selangor.

Teringin melihat mainan cahaya sang kelip-kelip sambil menyusuri sungai di Kuala Selangor? Selain mendedahkan anak-anak dengan keajaiban alam ciptaan Tuhan, destinasi ini menjanjikan keseronokan kerana keunikannya. Tahukah anda di seluruh dunia hanya ada dua taman kelip-kelip? Paling istimewa, taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan yang letaknya kira-kira 60 kilometer dari Kuala Lumpur menempatkan banyak spesies kelip-kelip Pterotyxtener yang mengeluarkan kerlipan cahaya tiga kal sesaat.

Waktu operasi : Setiap hari dari 7.45 malam hingga 10.30 malam (waktu sampan beroperasi tetapi pengunjung boleh datang awal untuk bersiar-siar).

Harga tiket : Tambang RM10 seorang muatan empat orang bagi sebuah sampan.

Bagaimana ke sana : Memandu ke Kuala Selangor patuhi arah ke Kampung Kuantan atau naik teksi dari pekan Kuala Selangor pada kadar bayaran RM40

Perak

Lost World of Tambun, Sunway City, Ipoh

Taman tema air ini makin popular di kalangan kanak-kanak, remaja malah golongan dewasa. Dengan lanskap menarik dikelilingi bukit batu kapur dan pancuran air panas, Lost World of Tambun menjamin percutian dipenuhi hilai tawa dan keseronokan sukar digambarkan. Air terjun setinggi 20 kaki dengan dua sungai mengalir ke kolam renang utama, pantai berpasir dan taman tropika menanti untuk diteroka.

Waktu operasi : Isnin hingga Jumaat dari 11 pagi hingga 6 petang. Sabtu dan Ahad dari 10 pagi hingga 6 petang. Cuti sekolah dan kelepasan am dari 10 pagi hingga 6 petang. (Tutup Selasa kecuali cuti sekolah dan cuti am).

Harga tiket : Dewasa RM25 (seperti tertera dalam laman web Lost World of Tambun). Kanak-kanak bawah 12 tahun RM19. Percuma bagi kanak-kanak ketinggian kurang 90 sentimer

Bagaimana ke sana : Jika memandu melalui Lebuhraya Utara Selatan dari arah utara atau selatan, susur persimpangan Ipoh Selatan dan hala ke pusat bandar sebelum bertemu persimpangan Tambun/Tanjung Rambutan. Patuhi papan tanda sehingga ke taman tema ini.

Pulau Pinang

Georgetown

Teringin melihat keunikan Georgetown yang baru-baru ini diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco? Jika anak-anak anda meminati sejarah, mungkin ini lokasi percutian untuk anda sekeluarga. Antara jejak warisan yang boleh dikunjungi di Georgetown ialah Kota Cornwallis, Masjid Melayu Lebuh Acheh, Masjid Kapitan Keling dan Kongsi Khoo. Perjalanan menjejak rahsia Georgetown boleh mengambil masa sehingga empat jam! Percutian bertambah hebat dengan sajian makanan panas Penang, rojak buah dan nasi kandar hingga anda tidak mahu pulang!

Bagaimana ke sana : Amat mudah kerana dihubungkan dengan sistem jalan raya terbaik melalui Jambatan Pulau Pinang. Selain itu, anda boleh memilih untuk menaiki pesawat atau bas ekspres. Lebih seronok jika menaiki feri dari Butterworth di tanah besar.

Kedah

Pusat Rekreasi Kolam Air Panas Ulu Legong, Baling

Pulau peranginan Langkawi tidak disangkal lagi menjadi tarikan utama negeri jelapang padi ini. Namun, sesekali berkunjung ke Kedah, seronok rasanya pergi ke lokasi berbeza. Apa kata lancarkan perjalanan darah sambil bersantai di Pusat Rekreasi Kolam Air Panas Ulu Legong, Baling? Seronok merendam kaki bersama keluarga di kolam air panas ini terutama pada waktu malam. Spa semulajadi ini tidak pernah sunyi daripada pengunjung terutama mereka yang mahu menikmati khasiat air panas. Apa yang penting, anda tidak perlu berbelanja besar untuk menikmati percutian di kolam air panas ini. Malah jika mahu bermalam, kemudahan chalet dan asrama juga disediakan.

Harga Tiket : Dewasa RM4. Kanak-kanak bawah 12 tahun RM2. Tempat letak kereta percuma

Bagaimana ke sana : Jika datang dari arah Grik, Perak, teruslah ke Pengkalan Hulu. Dari situ, teruskan perjalanan ke Baling. Selepas 19 kilometer, anda akan sampai ke Ulu Legong. Dari Sungai Petani dan Kulim pula, anda perlu melalui Kuala Ketil. Dari situ teruskan pemanduan ke Baling sebelum tiba di pusat rekreasi itu.

Perlis

Taman Negeri Perlis

Mahu melihat sistem gua Wang Burma yang menjadi tarikan utama Taman Negeri Wang Kelian yang merangkumi sebahagian daripada Taman Negeri Perlis? Gua Wang Burma terbahagi dua iaitu Wang Burma Satu yang mempunyai banyak tinggalan formasi stalaktik dan stalagmit manakala Wang Burma Dua lebih mencabar bagi mereka yang meminati kegiatan outdoor. Eksplorasi ke gua ini boleh mengambil masa hampir empat jam.

Bagaimana ke sana : Taman Negeri Perlis terletak kira-kira 40 kilometer dari pekan Kangar. Jika anda menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur, anda akan tiba di stesen bas utama Kangar. Anda boleh menaiki teksi atau bas ekspres ke Kaki Bukit dan kemudian menaiki teksi ke Taman Negeri Perlis.

Kelantan

Kampung Nelayan di Pulau Pantai Suri, Tumpat

Jika keluarga anda mahu lari dari kesibukan kota, cuba menginap kemudahan homestay di perkampungan nelayan di Pulau Pantai Suri. Perkampungan ini adalah penempatan asli yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisional. Pulau kecil ini dihuni kira-kira 400 penduduk yang mencari rezeki dengan melakukan pekerjaan tradisional menangkap ikan. Penempatan ini pernah menjadi johan Pertandingan Desa Wawasan Kampung Nelayan pada 2005. Setakat ini, kira-kira 20 homestay menawarkan kemudahan tempat tinggal pada kadar harga berpatutan.

Bagaimana ke sana : Naik bot dari jeti Kok Majid, Tumpat, iaitu pekan terhampir yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pulau ini. Untuk sampai ke Pulau Pantai Suri, anda perlu melewati beberapa pulau lain seperti Pulau Teluk Rejuna dan Pulau Beluru.

Terengganu:

Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu

Sesuai jolokan Bandaraya Warisan dan Pesisir Air, Kuala Terengganu menjanjikan 1,001 tarikan kepada pelancong asing mahupun rakyat tempatan yang mahu melihat keunikan dan warna-warni kehidupan masyarakat di pantai timur. Berkeluasan 23 hektar, Taman Tamadun Islam adalah sebahagian daripada projek membangunkan Kuala Terengganu sebagai destinasi pelancongan. Taman Tamadun Islam terbahagi kepada dua zon iaitu Kompleks Taman Tamadun Islam dan Zon Awam. Semestinya, ikon bagi taman ini ialah Masjid Kristal. Selain lokasi ini, beberapa destinasi pelancongan di Kuala Terengganu seperti Pasar Payang dan Muzium Negeri Terengganu juga boleh dilawati.

Bagaimana ke sana : Kuala Terengganu mudah dihubungi melalui jalan darat dan udara. Selain memandu, anda boleh menaiki bas ekspres yang menawarkan kadar tambang berpatutan. Di bandar Kuala Terengganu, anda boleh naiki bas henti-henti, teksi dan beca.

Pahang
Pusat Pemuliharaan Gajah Kuala Gandah (PPGKG), Lanchang

Anak-anak anda mungkin melihat gajah di zoo atau membelek gambar di majalah. Bagaimana rasanya kalau mereka dapat menyentuh dan memerhati gelagat mamalia ini dari dekat? Bawa mereka ke PPGKG di Lanchang, Pahang. Pusat pemuliharaan ini yang letaknya kira-kira 200 kilometer (km) atau kurang dua jam perjalanan berkereta dari Kuala Lumpur melalui Lebuh Raya Karak, mudah dikunjungi. Waktu terbaik untuk tiba di PPGKG adalah sekitar jam 12 tengah hari bagi membolehkan anda mendapat pelekat pelawat berwarna kuning ketika mendaftar. Pelekat kuning hanya diberi kepada 100 pengunjung terawal yang membolehkan mereka menyertai setiap aktiviti sesi EleFun.

Harga Tiket : Tiada bayaran dikenakan.

Bagaimana ke sana : Dua jam perjalanan berkereta dari Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT). Pandu hingga persimpangan Lanchang dan patuhi papan tanda ke PPGKG.

Johor

Danga Bay, Johor Bahru

Terletak lima kilometer dari pusat bandar Johor Bahru dengan keluasan 540 hektar di pesisir Selat Tebrau, Danga Bay tidak pernah sunyi daripada aktiviti pelancongan. Nadi utama taman persisiran air yang dilengkapi kemudahan terkini dan berciri futuristik itu adalah aktiviti riadah, pusat hiburan keluarga, zon makanan dan deretan bazar jualan. Pelawat juga boleh menaiki kapal persiaran Danga Cruise 8 dengan menyusuri pesisir Pantai Lido dan Selat Tebrau.

Harga Tiket : Percuma

Bagaimana ke sana : Jika anda sampai di Johor Bahru, Danga Bay tidak mungkin terlepas dari pandangan. Berdepan dengan Istana Bukit Serene, taman persisiran air ini dilengkapi sistem perhubungan cekap.

Negeri Sembilan

Port Dickson

Jika bertandang ke Negeri Sembilan, Port Dickson menjadi destinasi wajib untuk dilawati. Hanya 30 minit berkereta dari Seremban, Port Dickson atau PD menanti untuk diteroka. Keindahan pantai dan Laut Cina Selatan yang luas terbentang, menawan hati sesiapa saja. Jika bercadang bermalam di PD, puluhan hotel mewah dan bajet menanti anda! Anda juga boleh melawat pelbagai tempat pelancongan menarik sekitar PD dan Seremban seperti Muzium Adat, Air Terjun Lata Kijang di Jelebu dan Wet World Pedas Hot Springs.

Bagaimana ke sana : Seremban dan kawasan sekitarnya mudah dikunjungi melalui Lebuhraya Utara Selatan. Perkhidmatan bas ekspres dan teksi juga mudah diperoleh.

Melaka

Melaka Bandaraya Bersejarah

Ada pendapat mengatakan jika mahu kenali Malaysia, datanglah ke Melaka. Bawa anak-anak mengenali sejarah penjajahan silam, keunikan budaya dan warisan bangsa. Di Melaka, macam-macam boleh dilakukan seperti melawat tempat bersejarah, berkelah di tepi pantai, mengunjungi Mini Malaysia atau makan ikan bakar di Umbai. Anda tentu tidak kecewa!

Bagaimana ke sana : Jalinan lebuh raya dan jalan raya moden memudahkan pergerakan anda di Melaka. Kemudahan bas ekspres dan teksi juga cekap.

Sabah

Ladang Teh Sabah, Kampung Nalapak, Ranau.

Jika anak-anak anda penggemar teh, apa kata bawa mereka ke Ladang Teh Sabah di Kampung Nalapak, Ranau, kira-kira 150 kilometer dari Kota Kinabalu. Pemanduan dua jam dari Kota Kinabalu tidak terasa sebaik tiba di ladang teh ini yang berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu. Kawasan berkeluasan 2,480 hektar dan dikelilingi hutan hujan yang dikatakan tertua di dunia (dianggar berusia 130 juta tahun) itu adalah ladang teh organik tunggal di Malaysia dan antara yang terpilih di dunia.

Waktu operasi : Ladang Teh Sabah dibuka setiap hari dari 7 pagi hingga 5 petang. Tutup pada cuti umum.

Bagaimana ke sana : Pengunjung boleh menaiki bas dari Terminal Bas Bandar raya-Utara dan bas berhenti di Pekan Ranau atau menaiki teksi dari stesen berhampiran Padang Merdeka.

Sarawak

Kampung Budaya Sarawak, kaki Gunung Santubong

Digelar muzium hidup terbesar dunia, Kampung Budaya Sarawak adalah destinasi wajib dikunjungi jika bercuti di Sarawak. Di taman seluas 4.25 hektar ini, tetamu dapat melihat lebih dekat kediaman tradisional tujuh suku kaum utama iaitu Bidayuh, Iban, Orang Ulu, Penan, Melanau, Melayu dan Cina. Setiap satunya memaparkan keunikan cara hidup dan budaya suku kaum utama Sarawak.

Waktu operasi : Dibuka setiap hari mulai jam 9 pagi hingga 5 petang

Bagaimana ke sana : Perjalanan dari Kuching mengambil masa sejam. Pengunjung boleh mengambil teksi dan bas dari pusat bandar terus ke Kampung Budaya Sarawak.

INFO: Tips bercuti

Manfaatkan internet untuk mendapat tambang penerbangan, kereta sewa, penginapan atau pakej percutian murah. Semak laman web yang mempunyai maklumat khusus percutian keluarga.

Pilih destinasi yang jarang dikunjungi pelancong. Anda boleh berjimat hingga 70 peratus jika memilih destinasi yang tidak begitu popular tetapi menarik.

Anda boleh berjimat dengan merebut promosi penerbangan terlebih dulu daripada memilih destinasi serta mencari perkhidmatan penerbangan termurah.

Pilih destinasi yang boleh dikunjungi dengan memandu kenderaan saja.

Pilih aktiviti perkhemahan sebagai kaedah paling murah. Jika anda benar-benar ingin berjimat, rancang percutian secara perkhemahan malah anda dan keluarga dapat menikmati kehijauan dan kesegaran alam.

Ketika mengemas pakaian, gulung baju anda. Bila bercuti sekeluarga, tentu banyak pakaian yang hendak dibawa. Bagi mengelak daripada membawa terlalu banyak beg, anda digalak menggulung pakaian dan letakkan barang besar ke dalam beg sebelum barang kecil.

Bawa sedikit bahan pencuci. Anda boleh mencuci pakaian kotor dan mengeringkannya supaya mudah disimpan semula bila berkemas untuk pulang. Ia juga boleh dipakai semula. Anda boleh mengeringkan pakaian dengan menjemurnya di bawah kipas hotel atau jika ingin lekas kering, jemur di bawah sinaran lampu di bilik hotel.

Bawa lampu suluh kecil. Ia berguna ketika kecemasan.

Jika boleh, bawa bahan penjagaan diri yang bukan cecair kerana bahan penjagaan jenis cecair akan mudah tumpah dan mengotorkan barang lain yang disimpan dalam beg.

Jangan lupa kamera. Kalau anda bercuti di kawasan pantai atau pulau, bawa kamera kalis air. Lebih menarik jika anda memiliki kamera video kerana kenangan manis percutian bersama keluarga dapat dirakamkan!