Probiotik menguatkan sistem imun

Anak kecil saya kerap mendapat demam selesema. Lebih memburukkan keadaan, anak saya juga mudah mendapat cirit-birit.

Sejak dulu saya perlu lebih berhatihati sama ada memilih pusat asuhan kanak-kanak dan juga tempat permainan untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Adakah ia ada kaitan dengan pemberian susu formula sejak kecil yang dikatakan boleh melemahkan sistem imun badan?

Jawapan,

Susu ibu sememangnya kaya dengan khasiat dan ia merupakan makanan sempurna untuk bayi. Sebab itulah ia disarankan agar ibu menyusui bayi secara eksklusif selama enam bulan pertama.

Susu ibu bukan sekadar makanan bayi untuk tumbesaran, malah kandungan beratus-ratus molekul, hormon-hormon, protein, enzim-enzim dan sebagainya sangat diperlukan untuk sistem imun yang turut memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan fungsi kognitif di kemudian hari.

Pendedahan kajian klinikal dan penyelidikan mendapati salah satu kunci ke arah kesihatan optima mungkin berada dalam usus, iaitu bakteria bermanfaat dalam saluran penghadaman.

Flora usus yang seimbang bukan sahaja memperbaiki kesihatan penghadaman tetapi juga mempengaruhi interaksi usus dengan sistem imun.

Ini mengurangkan jangkitan dan menunjukkan keperluan pengambilan bakteria bermanfaat atau probiotik.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa bakteria baik, iaitu Lactobacillus reuteri Protectis yang bermanfaat dalam merangsang kesihatan boleh dijumpai dalam susu ibu dan juga mendiami saluran gastrousus.

Bukti terkini menunjukkan Lactobacillus reuteri Protectis sebagai probiotik yang berpotensi besar untuk kesihatan imun.

Kajian pada tahun 2007 mendapati Lactobacillus reuteri juga dapat memperbaiki simptom kolik di kalangan bayi.

Bukti manfaat L. reuteri Protactis adalah menyakinkan. Pada 2004, pemeriksaan kolonisasi usus manusia selepas pengambilan L. reuteri Protectis dan hasilnya mengesahkan terdapatnya pengkolonian bakteria baik ini dalam perut, duodenum dan ileum.

Strain probiotik ini juga menghasilkan bahan antimikrob, iaitu reuterin yang dapat menentang jangkitan akibat patogen dalam saluran pencernaan.

Pengkaji juga mendapati peningkatan yang signifikan dalam sel imun selepas pengambilannya, membawa kepada perlindungan dan kurang jatuh sakit.

Ia didapati berkesan sebagai agen terapeutik untuk rawatan cirit-birit di kalangan kanak-kanak dan bayi.