Probiotik tingkat imuniti tubuh

Probiotik adalah istilah digunakan untuk menamakan bakteria baik yang membantu meningkatkan tahap kesihatan seseorang. Bukan semua bakteria berbahaya atau menyebabkan penyakit.

Dalam perubatan, jika seseorang mendapat jangkitan daripada bakteria jahat, maka doktor akan memberikan ubat antibiotik.

Peranan probiotik adalah terbalik daripada antibiotik. Ia sendiri adalah bakteria, tetapi memberikan faedah kesihatan kepada yang mengambilnya.

Ia amat penting, terutama di dalam usus manusia. Dengan kehadiran probiotik secukupnya, maka ia akan membantu meningkatkan imuniti tubuh dengan meransang sel imun menghasilkan lebih banyak antibodi, membantu proses inflamasi dan merembeskan bahan yang mengawal kitaran sel dalam usus.

Kawal bakteria jahat

Probiotik juga berperanan mengawal pembiakan bakteria jahat di dalam usus.

Apabila seorang bayi itu lahir, tiada bakteria baik yang hidup di dalam ususnya. Ketika proses kelahiran yang normal, sebahagian bakteria di saluran peranakan akan masuk ke dalam usus bayi dan membiak.

Oleh itu, bayi yang lahir secara normal lebih beruntung kerana mendapat probiotik semula jadi daripada ibunya. Dalam tempoh dua minggu bakteria baik akan berada di dalam usus bayi dan kekal ke akhir hayat.

Jika seseorang mengambil antibiotik, maka sebahagian daripada bakteria baik akan turut sama mati, justeru ia perlu diganti semula untuk mengekalkan keseimbangan bakteria dalam usus.

Di sinilah peranan probiotik yang mengekalkan keseimbangan bakteria di dalam usus. Jika tidak bakteria jahat akan membiak dengan banyak dan mengakibatkan pelbagai masalah penghadaman dan masalah kesihatan lain.

Kurangkan alahan

Terdapat pelbagai jenis probiotik seperti lactobacillus sp dan bifidobacteria.

Banyak kajian sains menunjukkan probiotik membantu dalam masalah cirit-birit, usus bengkak, jangkitan saluran kencing, jangkitan faraj, asma dan kanser usus.

Terdapat juga kajian menunjukkan probiotik amat baik untuk mengurangkan masalah alahan kerana meningkatkan dan menstabilkan sistem imuniti tubuh.

Bagaimana sebenarnya probiotik membantu dalam masalah itu masih diperdebatkan dalam kalangan ahli sains, tetapi secara konsepnya diterima bahawa probiotik meningkatkan tahap imuniti tubuh seseorang.

Sumber utama probiotik adalah daripada makanan seperti dadih, minuman susu kultur, susu ibu dan makanan yang diperam seperti budu, belacan, cencalok dan sebagainya.

Tiada kesan buruk

Bagi ibu yang menyusukan anak, anda sebenarnya membekalkan makanan kepada probiotik dengan kandungan prebiotik yang tinggi di dalam susu ibu. Prebiotik pula adalah makanan kepada bakteria probiotik ini.

Prebiotik banyak ditambah ke dalam produk susu tepung bayi dan kanak-kanak. Ada juga probiotik yang dijual sebagai suplemen dalam bentuk kapsul atau serbuk yang dibancuh.

Probiotik lebih baik diambil secara cecair dan perlu disimpan dalam peti sejuk. Ambillah produk yang mempunyai nilai bakteria dengan jumlah yang tinggi seperti 20 hingga 30 bilion bakteria kerana jumlah yang banyak diperlukan untuk melawan bakteria jahat dalam usus.

Pengambilan probiotik digalakkan dan selamat. Masih terdapat banyak lagi kajian dijalankan untuk mengkaji faedah kesihatan pengambilan probiotik setiap hari.

Sehingga kini tiada lagi kajian yang menunjukkan kesan buruk pengambilan probiotik. Jadikan pengambilan probiotik sebagai amalan kesihatan yang baik untuk mengekalkan kesihatan usus dan meningkatkan imuniti tubuh.

Oleh Dr Norman Mohd Norawi
* Penulis alah Pengamal Perubatan Am, Pengkhususan Aestetik, Antipenuaan dan Perubatan Regeneratif