Rambut bercabang

Rambut bercabang

Rambut merupakan mahkota setiap individu. Walaupun sebaik mungkin kita menjaganya, masih ada lagi kerosakan pada rambut. Seringkali ada individu yang bertukar syampu, perapi dan kerap mengunjungi salon rambut sehingga sanggup menghabiskan wang ringgit demi menjaga rambut mereka.

Masalah rambut kering dan bercabang selalu terjadi terutama kepada wanita. Apabila diikat ibarat menyikat dawai kerana terlalu keras dan kering.

Hujung rambut bercabang dikenali sebagai trichoptilosis. Secara umumnya, hujung rambut yang rosak akan terbelah menjadi dua atau tiga sepanjang dua hingga tiga sentimeter. Ada yang terpaksa menutup kepala dengan topi bagi menyembunyikan masalah rambut tersebut.

masalah rambut bercabang

Rambut yang kering dan mudah putus juga ada kaitannya dengan cara hidup kita yang moden sehingga mengabaikan rambut. Tanpa disedari kita merosakkannya.

Rambut sebenarnya mempunyai gentian semula jadi dan protein. Ia juga akan kehilangan imunisasi semula jadinya untuk mengelakkan kerosakan yang disebabkan oleh bahan kimia. Seterusnya akan menyebabkan rambut kering, mudah putus dan bercabang-cabang.

Keadaan akan bertambah teruk andainya mendandan rambut dengan individu yang kurang berpengalaman dalam teknik mengerinting atau pewarnaan rambut. Kerosakan pada rambut dan kulit kepala akan menjadi lebih buruk lagi.

Menurut kajian, kira-kira 10 peratus remaja mengalami masalah rambut akibat daripada kesalahan pendandan rambut.

Apabila rambut mula hilang gentian semula jadi dan protein, ia juga akan hilang imun semula jadinya. Ini seterusnya akan menyebabkan rambut yang kering, mudah putus dan bercabang-cabang.

Apabila anda tidak cukup tidur atau dalam keadaan yang letih, rambut akan kekurangan nutrien. Rambut juga berkemungkinan menjadi bercabang, hilang kekenyalannya dan mudah putus.

Kita juga tidak perlu menyisir rambut terlalu kuat.

Rambut yang strukturnya lebih halus mudah rosak dan bercabang akibat aktiviti mengerinting rambut atau teknik meluruskannya. Bagaimanapun, ramai remaja tidak menghiraukan kesannya untuk cantik dan mengikut aliran gaya rambut semasa. Mereka dinasihatkan agar mengetahui terlebih dulu keadaan rambut sebelum menggunakan sebarang kimia atau teknik bagi mendapatkan gaya rambut yang diidamkan.

Misalnya, jika jumlah rambut mereka terlalu sedikit, sebaiknya jangan kerintingkan rambut kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan dan merosakkan rambut. Sekiranya ingin mewarnakan rambut, pastikan anda melakukan rawatan rambut atau segera berjumpa pakar apabila rambut gugur terlalu banyak.

Tip menjaga rambut

1. Santan. Khasiatnya memang terkenal untuk melembut dan melebatkan rambut.

Caranya mudah, ambil kelapa tua dan perah pekat-pekat. Biarkan sejam agar patinya naik, baru disapu pada rambut. Gunakan jari atau sikat bergigi jarang. Balut dengan tuala bersih dan perap setengah jam.

2. Minyak kelapa yang dibuat sendiri juga elok untuk merawat rambut kering, pecah hujung serta mudah gugur.

Caranya perah santan daripada dua atau tiga biji kelapa tua. Ambil yang pekat sahaja (dua kali perahan). Kemudian jerang di dalam kuali besar tebal. Sebaik-baiknya guna dapur kayu kerana tempoh memasak minyak kelapa ini sangat lama (hampir sehari). Kemudian biarkan ia sejuk dan baru dilumur pada kepala.

3. Minyak bijan juga elok untuk melebatkan dan menghitamkan rambut. Agar lebih harum, minyak dicampurkan dengan bunga melati atau daun pandan. Bagi mengelakkan rambut hapak, pastikan sisa minyak telah dibasuh sebersih-bersihnya.

4. Wanita Jawa gemar menggunakan abu batang padi untuk mencuci rambut. Biasanya batang padi yang baru dituai, dibakar. Kemudian direndam semalaman, baru ditapis. Hampas tapisan batang padi digunakan untuk mencuci rambut kemudian dibilas dengan air rendamannya. Selepas itu rambut dicuci dengan air biasa.

– NORHAFIZAH ABD RANI