Rawatan GERD

PERUNDING kesihatan anda mungkin mencadangkan antasid yang boleh diperoleh di kaunter, ubat yang menghalang penghasilan asid atau ubat yang membantu otot mengosongkan perut anda. Anda boleh beli ubat-

ubat ini tanpa preskripsi. Walaubagaimanapun, berjumpalah doktor anda sebelum mengambil atau menambah sesuatu ubat.

Antasid adalah ubat pertama yang selalu dicadangkan untuk mengurangkan rasa pedih hulu hati dan simptom-simptom GERD yang lain. Terdapat banyak jenama di pasaran yang menggunakan kombinasi tiga garam asas iaitu magnesium, kalsium dan aluminium bersama dengan ion-ion hidroksida atau bikarbonat untuk meneutralkan asid di dalam perut.

Walaubagaimanapun, antasid mempunyai beberapa kesan sampingan. Garam magnesium boleh mengakibatkan cirit-birit sementara garam aluminium boleh menyebabkan sembelit. Garam-garam aluminium dan magnesium sering digabungkan di dalam satu produk untuk mengimbangkan kesan-kesan tersebut.

Antasid kalsium karbonat juga merupakan sumber tambahan kalsium. Tetapi, ia juga boleh menyebabkan sembelit. Agen ‘foaming’ pula bertindak dengan melapisi kandungan perut anda dengan buih untuk menghalang refluks asid.

Penyekat H2 (H2 Antagonist) seperti cimetidine, famotidine, nizatidine, dan ranitidine boleh mengurangkan asid daripada terhasil. Ianya terdapat secara preskripsi dan juga di kaunter. Ubat-ubatan ini memberi kelegaan secara sementara dan hanya berkesan pada separuh daripada mereka yang mempunyai simptom-simptom GERD.

Perencat pam proton (Proton Pump Inhibitor) termasuklah omeprazole, lansoprazole, pantoprazole, rabeprazole dan esomeprazole boleh didapati secara preskripsi. Perencat pam proton adalah lebih berkesan daripada penyekat H2 dan ianya boleh mengurangkan simptom-simptom dan menyembuhkan keradangan lapisan esofagus (oesophagitis) yang dialami oleh pesakit yang menghidapi GERD.

Prokinetics membantu menguatkan sfinkter (pencerut) esofagus (LES) dan mengosongkan perut dengan lebih cepat. Ubat-ubatan ini termasuklah Itopride dan metoclopramide. Metoclopramide juga memulihkan pergerakan otot di dalam salur penghadaman.

Namun, Prokinetics kerap mempunyai kesan sampingan di mana ia akan mengehadkan keberkesanannya seperti rasa letih, mengantuk, runsing dan masalah dengan pergerakan fizikal. Disebabkan ubat-ubatan bertindak dalam cara yang berbeza, kombinasi ubat-

ubat ini mungkin akan membantu mengawal simptom-simptom yang dialami oleh pesakit.

Bagi mereka yang mengalami rasa pedih hulu hati selepas makan, bolehlah mengambil kedua-dua antasid dan penyekat H2. Antasid akan mula bertindak untuk meneutralkan asid di dalam perut dan kemudian, penyekat H2 akan bertindak ke atas penghasilan asid.

Apabila antasid berhenti bertindak, penyekat H2 akan menghentikan asid daripada dihasilkan. Doktor anda merupakan sumber yang terbaik untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang penggunaan ubat untuk GERD.

- Pembedahan

Pembedahan merupakan satu pilihan apabila ubat dan perubahan yang dilakukan dalam cara kehidupan tidak membantu menangani simptom-simptom GERD. Pembedahan juga mungkin merupakan satu alternatif yang baik berbanding dengan ubat-ubatan dan ketidakselesaan yang dialami.

Fundoplication merupakan satu rawatan surgikal yang standard untuk GERD. Selalunya, prosedur khusus yang dikenali sebagai Nissen fundoplication akan dilakukan di mana bahagian atas perut akan dibalut di sekeliling LES untuk menguatkan sfinkter, menghalang refluks asid dan membaiki hernia hiatal.

Nissen fundoplication boleh dilakukan dengan menggunakan laparoskopi, satu instrumen yang dimasukkan melalui insisi kecil di dalam abdomen. Kemudian, doktor akan menggunakan alat-alat kecil yang memegang kamera untuk melihat kawasan abdomen dan pelvis.

Apabila dilakukan oleh pakar bedah berpengalaman, laparoscopic fundoplication adalah selamat dan efektif untuk semua orang termasuklah kanak-kanak. Prosedur ini dilaporkan mempunyai keputusan sama seperti fundoplication yang biasa, dan pesakit boleh meninggalkan hospital dalam masa satu hingga tiga hari dan kembali bekerja seperti biasa dalam masa dua ke tiga minggu.

Teknik-teknik endoskopi yang terkini masih boleh dianggap percubaan digunakan untuk merawat rasa pedih hulu hati yang kronik. Teknik-teknik ini memerlukan penggunaan endoskop untuk melakukan pembedahan anti-refluks.

- Komplikasi jangka panjang

Jika dibiarkan GERD yang kronik tidak dirawat, ia akan mengakibatkan komplikasi yang serius. Inflamasi di esofagus dari perut yang mengalami refluks asid perut akan merosakkan lapisan tisu dan menyebabkan pendarahan atau ulser (esofagitis). Parut dari tisu-tisu yang rosak akan menyebabkan striktur (penyempitan esofagus) yang akan menyebabkan kesukaran menelan.

Sesetengah orang akan mengalami esofagus Barret, di mana sel-sel di dalam lapisan tisu esofagus akan berubah rupa dan warna. Setelah beberapa lama, sel-sel ini akan menyebabkan kanser esofagus yang kerap mendatangkan maut.

Mereka yang mengalami GERD dan komplikasinya haruslah dipantau secara berhati-hati oleh pakar bedah. Di Malaysia, statistik GERD, seperti juga penyakit lain tidak diketahui dengan tepat.

Kajian menunjukkan bahawa GERD mungkin akan menjadi lebih teruk atau menyumbang kepada asma (lelah), batuk yang kronik dan pulmanory fibrosis.

Oleh Dr Ab Hamid Mat Sain – utusan