Rawatan selepas bersalin boleh dilakukan di Spa

Amalan berpantang selepas bersalin bukan sahaja menitik beratkan soal pemakanan ibu semata-mata tetapi juga merangkumi penjagaan tubuh badannya secara luaran dan dalaman.

Selain menjaga makan dan minum, proses mengembalikan kesegaran tubuh juga amat penting kerana seorang ibu perlu sentiasa sihat semasa menjaga bayi mereka dan bekerja semula selepas berpantang.

Namun kini, ramai yang menganggap amalan berpantang tidak lagi penting dan dianggap remeh.

Malah ada yang menganggap amalan berpantang hanyalah sesuatu yang merugikan.

Bagi wanita yang baru lepas bersalin, antara perkara yang ditekankan ialah urutan bagi menaikkan rahim atau di kalangan orang Melayu sebut sebagai sengkak rahim. Urutan ini dilakukan bagi menaikkan semula rahim yang kendur atau terjatuh semasa proses melahirkan anak.

Rawatan tradisional seperti sengkak rahim membantu mengecutkan otot-otot rahim dan menolak rahim masuk semula.

Ini dibantu dengan pemakanan yang betul seperti mengelakkan pengambilan makanan sejuk yang boleh menyebabkan urat kembang atau masuk angin.

Bertungku

Selain itu, amalan bertungku sering dipraktikkan semasa dalam pantang.

Ini kerana bertungku jika diamalkan selalu boleh membantu mengempiskan perut, menghilangkan garis kesan pembedahan untuk mereka yang baru bersalin dan memulihkan rahim yang jatuh atau ‘simpan batu merian’.

Proses bertungku itu dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan pada sekitar perut, pangkal paha, berhampiran ari-ari, kaki, telapak kaki dan tumit.

Ia dilakukan selama satu jam dari bahagian hadapan hingga ke belakang. Jika dilakukan semasa berpantang, darah nifas akan mengalir dengan lancar selepas bertungku.

Justeru bertungku adakala diteruskan hingga keluar darah terakhir berwarna seakan-akan putih keperangan atau dipanggil darah meroyan.

Pada zaman moden ini, rawatan selepas bersalin ini bukan sahaja boleh dilakukan sendiri atau bidan di rumah, sebaliknya pusat kecantikan turut menyediakan rawatan tradisional untuk ibu bersalin seperti sauna, urutan dan tunku herba.

Di Tini Spa misalnya, menawarkan pakej rawatan bersalin di kedua-dua buah cawangan yang terletak di Ampang dan Shah Alam, Selangor.

Tidak hanya tertumpu untuk mendapatkan tubuh badan langsing, rawatan selepas bersalin ini sebenarnya penting untuk kesihatan luar dalam dalam seorang ibu.

Selain amalan tersebut, si ibu juga turut diberikan jamu dengan ramuan-ramuan tersendiri bagi menguatkan lagi kesihatan dalaman seseorang wanita.

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH