Resepi Puding karamel Yeo’s

Resepi Puding karamel Yeo’s

Sebut saja puding karamel, sudah pasti ramai, khusus peminat menu pencuci mulut popular ini terliur. Mana tidaknya, puding berwarna kuning cair yang disiram atau dimakan bersama gula halus ini dengan percikan rasa manis, lemak dan enak itu sudah cukup menjadi pelengkap sajian baik yang tua mahupun muda, terutama ketika Ramadan ini.

Inilah menu taruhan suri rumah, Khasidah Idris, berasal dari Temerloh, Pahang yang menjadi peserta ketiga terpilih bagi peraduan Misi 3R Menu Resipi Rahsia Ramadan (Misi 3R) anjuran syarikat pengeluar minuman terkemuka, Yeo Hiap Seng dengan kerjasama BH.

Uniknya, jika menu asli menggunakan susu sebagai bahan utama, menu Khasidah sebaliknya lebih berkhasiat dan sihat kerana menggunakan susu soya sebagai ganti.

Apa istimewanya resipi Khasidah ini? “Bila tiba Ramadan, saya pasti akan ke bazar Ramadan untuk mencari puding karamel yang sememangnya juadah kegemaran saya buka puasa,” katanya.

Jom kita hayati menu enak ini yang boleh dijadikan pencuci mulut untuk berbuka nanti.

Penyediaan

Bahan-bahan puding:

- 2 cawan air soya Yeo’s (perisa asli)

- 3 biji telur

- 2 sudu teh tepung kastad

- 1 sudu makan gula pasir

- Secubit garam

- 1 sudu teh esen vanila

Penyediaan karamel/ gula hangus:

- 1/2 cawan gula pasir

- 1/2 cawan air

Hiasan:

- Kismis

- Beberapa hiris ceri hijau dan merah

Cara buat:

- Masak gula pasir di dalam kuali dengan api sederhana sehingga perang dan cair. Pastikan sentiasa dikacau agar tidak hangus.

- Campurkan 1/2 cawan air dan biar gula larut dalam air. Biarkan mendidih beberapa minit. Kemudian sejukkan.

- Tuang karemel ke dalam acuan.

- Campurkan semua bahan bagi penyediaan puding dan gaul sehingga sebati. Pastikan semua bahan larut. Kemudian, tuang ke dalam acuan berisi karamel tadi. Kukus bahan campuran selama 15 minit.

- Biarkan puding sejuk (puding lebih enak dimakan sejuk). Telangkupkan puding dan tuangkan lebihan karamel ke atas puding.

- Hiaskan puding dengan kismis dan ceri.