Saya dah letih bayar hutang suami

Kisah Azharuddin minggu lalu berjudul ‘Memori duka bila ibu pilih kasih’ benar-benar menarik perhatian Puan Kharina. Dalam emelnya beliau melahirkan rasa dukacitanya dengan tulisan Azharuddin yang disifatkannya sebagai anak derhaka.

‘‘Sebagai ibu tunggal saya terguris dengan tindakannya yang lebih sayangkan isteri daripada ibu. Banyak manalah duit anda berikan kepada ibu berbanding jasa ibu besarkan anda. Mampukan anda membahyar nilai susu yang anda minum, nasi yang anda makan, baju yang anda pakai, apatah lagi kesakitan ibu ketika mengandung 9 bulan dan melahirkan anda. Dan lupakan anda tidur malamnya sentiasa terganggu menjaga anda ketika sakit?

‘‘Jika nak tulis jasa ibu di ruangan ini memang tak cukup. Dan saya nak tanya mampukah anda menjaga ibu anda ditakdirkan dia sakit, suapkan makannya dan membasuh najisnya belum tentu anda mampu lakukan. Jadi tolong jangan bandingkan layanan ibu dengan adik-beradik lain.

‘‘Sebagai ibu tentu beliau ingin buat majlis kenduri kahwin yang besar, tapi mungkin waktu itu beliau tak mampu, berbanding sekarang setelah anda bekerja. Apakah itu anda perlu berkira?

‘‘Sepatutnya inilah peluang anda mengembirakan hati ibu, dan saya yakin tentu adik anda tidak akan melupakan jasa anda. Anda juga sepatutnya berfikir betapa besarnya pengorbanan ibu anda membesarkan 5 orang anak tanpa memikirkan keinginnannya yang mungkin ingin berkahwin, tetapi kerana lebih pentingkan anak beliau sanggup berkorban, kerana bimbang kasih sayangnya untuk anak-anak terbahagi dua. Lihatlah betapa besar pengorbanan ibu anda!

‘‘Bayangkan kalau dia kahwin dulu, belum tentu anda dapat belajar hingga ke menara gading. Akhir kalam saya nasihatkan anda bertaubatlah, peluklah ibu anda demi masa depan anda. Buangkan jauh perasaan tidak puas hati terhadap ibu, teruslah berbakti kepadanya sementara dia masih hidup. Tidak salah sayang isteri tapi salah kalau benci ibu sendiri.

‘‘Mungkin sebab itulah juga Allah masih belum kurniakan cahaya mata kepada anda lagi kerana Dia sayangkan anda dan mahu beri peluang kepada anda berbakti kepada ibu anda. Fikirkanlah,’’ demikian nasihat Kharina panjang lebar kepada Azharuddin. Namun minggu ini mari kita fikirkan bersama masalah Ezaty yang tidak kurang hebatnya di bawah ini yang saya hubungi melalui telefon setelah menerima e-melnya.

Katanya setelah membaca kisah 7 Disember lalu berjudul ‘‘Suami kedekut takut bagi nafkah’’. Dia merasakan cerita itu ada kena mengena dengan perangai suaminya Rosman. Ketika kami berkenalan dulu dia peramah. Orangnya tak hensem, rendah, berbadan kecil kira oklah.

‘‘Apa yang ingin saya ceritakan tentang perangai buruk Rosman ialah dia paling suka berlagak macam orang berduit, tapi saya yang kena siapkan duitnya, kalau mintak tak kurang RM50, dia tak peduli saya ada duit ke tidak, dia main ambil saja dari beg tangan saya.

‘‘Lebih teruk lagi apa yang saya ingin kongsi masalah saya dengan pembaca ialah dia paling suka buat hutang, tetapi tak mahu bayar, sayalah yang dipaksa bayar. Selagi dia tak dapat satu-satu barang idamannya dia tidak akan berhenti minta saya belikan. Pelikkan, patutnya saya yang merengek minta belikan barang, ini suami yang merengek. Memang zaman ini dah nak terbalik, suami dah jadi macam orang perempuan.

‘‘Masa bercinta semuanya manis, tapi selepas bertunang barulah saya tahu Rosman jenis suka berlagak, suka pakai baju berjenama tapi poket kosong. Dia kakitangan kerajaan lulusan SPM saja, sedangkan saya adalah kerja swasta ada diploma. Masih saya ingat masa tu awal tahun 90-an dia kerja di PJ saya di Keramat, sanggup dia telefon saya suruh turun ke CM sebab dia nak pinjam duit. Itu baru peringkat awal.

‘‘Bila nak kahwin mestilah buat persiapan. Dia punya selera memang tinggi nak sewa rumah teres yang selesa dan berpagar, sedangkan kita baru kahwin. Tapi dia tak berduit, suruh saya bayar sewa dan pendahuluan 2+1 dan deposit air api RM200.

‘‘Disebabkan tak mahu bergaduh saya korek simpanan Tabung Haji, kerana sewanya RM500 sebulan, licin duit saya RM1,700 untuk sewa rumah. Lepas tu setiap bulan sayalah tukang bayar sewa, dia buat pekak. Disebabkan belum ada anak, dan kerja selalu pulang lewat, kami makan kat luar, yang sedihnya saya juga kena bayar, dia buat bodoh aja tak mahu bayar.

‘‘Lepas dapat anak pertama, bertambahlah duit saya kena keluar, bayar pengasuh, susu, pampers dan sebagainya. Dia buat ‘selamberland’ aja. Kerana tak tahan belanja nak sara perbelanjaan hidup Rosman yang tinggi ini saya desak dia minta duduk di kuarters kerajaan di SA.

‘‘Bila dah pindah satu benda lagi dia desak, katanya tak tahan nak berulang alik ke tempat kerja dia cari kereta terpakai suruh saya bayar. Saya setuju tapi tak terfikir pulak kereta Honda Civic jadi idamannya. Sekali lagi saya kena panggang kerana bayar ansurannya. Nak elak bayar sewa rumah, kena bayar ansuran kereta pulak. Boleh mati saya kalau macam ni.

‘‘Dia pandai pilih waktu yang sesuai, masa saya dapat duit bonus hujung tahun, waktu itulah dia nak beli kereta, kerana bonus tak banyak, saya korek lagi duit Tabung Haji bagi kat dia RM7,000 untuk deposit kereta. Dia seronok bawak kereta saya yang menderita bayar ansurannya.

‘‘Duduk kuarters pun susah, dia kata malu rumah kosong tak ada perabut, sepatutnya isteri yang malu minta suami belikan perabut, ini suami mintak isteri beli perabut. Sakit! Sakit! Yang bencinya dia bukan nak kerusi biasa, nak sofa gebu yang jadi idamannya. Dan meja makan yang berkualiti katanya, habis lagi duit saya. Akhirnya saya buat perjanjian, kalau nak beli perabut dia kena bayar ansuran kereta, dia setuju. Tapi petrol ada kalanya dia mintak duit saya jugak. Saya terpaksa buat perjanjian ini sebab dah tak tahan kena beli setiap benda yang diidamakannya. Itu belum masuk pakaiannya sedangkan dia pergi kerja ada uniform.

‘‘Nak dijadikan tahun tu dia nak balik kampungnya berhari raya nun jauh ke utara nak tunjuk kereta yang baru dibeli, tapi tengah jalan keluar asap berkepol-kepol, kereta kena tarik. Beribu duit saya habis kena bayar. Bukan duit dia.

‘‘Nak jadikan cerita juga syarikat tempat saya kerja bagi pink form sebab nak masuk BSKL zaman itu lah. Peliknya dia yang merengek-renek minta saya belikan spare part kereta dan handphonenya waktu itu harganya lebih seribu, bila dapat senyum sampai ke telinga.

‘‘Lepas tu dia dengar saya dapat banyak duit dia minta saya beli kereta baru sebab tak tahan kereta Hondanya banyak makan duit sebab second hand. Selagi tak dapat dia buat bengis dan muka masak, memanjang tak senang hati kat rumah, bila saya setuju beli kereta baru, barulah dia tunjuk muka manis. Sakitnya jiwa! Dia fikir saya cop duit agaknya!

‘‘Tapi peliknya dia tak bagi saya bawa kereta, dia yang akan hantar dan ambil saya ke pejabat. Memang dia ambil saya, tetapi saya kena bayar petrol, ansuran kereta, tol, maintenance hingga perbelanjaan rumah tangga dan tanggung anak saya kena uruskan. Apa guna dia jadi suami? Entahlah apa bodohnya saya ini tak tahulah.

‘‘Padahal dia yang guna kereta tersebut lebih daripada saya sebab tempat kerjanya jauh di PJ walhal saya masih dalam kawasan SA tak jauh dari tempat kuarters tempat tinggal saya. Dia sanggup jadi driver asalkan dia yang bawa kereta itu bukan saya.

‘‘Kerana tak tahan kena bagi duit petrol boleh dikatakan selang sehari saya minta naik van syarikat supaya tak menyusahkan dia lagi, tapi masalahnya saya kena keluar ke pejabat awal, biasanya saya tak sempat siapkan dia sarapan ataupun makan tengah hari. Kerana dia kerja ikut syif. Jadi dia minta saya bagi dia duit sarapan kalau dia kerja tengah hari atau makan tengah hari kalau dia kerja malam. Akhirnya belanja duit makan dia pun dekat nak sama duit petrol yang saya kena bagi padanya. Memang dia nak kikis duit saya.

‘‘Begitulah rutin kehidupan saya, dalam pada susah anak bertambah juga tiga orang. Bila cuti sekolah atau raya masa tu dia kena kerja, saya balik kampung naik bas, sebab dia tak bagi bawa kereta, dia nak pakai. Kadang-kadang saya menangis mengenangkan nasib, masa kecil susah, dah kahwin pun susah, bukan emak bapak tak bagi saya senang hantar belajar sampai dapat diploma, tapi nasib tak menyebelahi saya dapat suami yang saya pulak kena tanggung dia.

‘‘Namun saya tetap bersabar dengan harapan dia akan berubah, tetapi dari hari ke hari tabiatnya semakin menjadi-jadi, pantang dengar saya dapat bonus dia dah sedia mengatur benda apa nak beli, bila dia dapat bonos saya tak boleh tanya, ada-ada saja alasannya nak guna duit, tapi biasalah semuanya untuk kereta dan kegunaannya sendiri.

‘‘Lagi satu tabiat buruknya kalau dia buat baik ajak keluar jalan-jalan, kita mesti ingat adalah benda yang dia hendak beli, kalau ke supermarket dia tukang ambil barang dan tolak troli sampai ke kaunter, lepas itu sayalah kena bayar. Dia keluar duduk jauh. Sampaikan saya nak beli baju sendiri pun terpaksa fikir 10 kali, sebab seluar dalam dan baju dia pun saya kena belikan.

‘‘Kalau di rumah kerjanya asyik dengan internet, baca paper, makan, tidur tengah hari sebelum makan, kalau dia tengah tidur jangan bising dia tak suka, kalau tengok tv macam orang pekak (maaf) sebabnya suaranya kena diperlahankan sampai kita tak boleh dengar. Dia tahu bila habis program yang dia minat dia akan bangun, makanan mesti dah sedia. Habis makan pinggan sendiri pun tak angkat masuk sinki. Itulah perangainya dari mula sampai sekarang.

‘‘Satu lagi dia suka buat hutang, pantang tengok jiran beli benda baru dia pun nak, terbaru, dia nak tv leper bukan murah, bila saya kata tak ada duit dia mengamuk, tapi saya buat pekak. Sebab saya dah tak ada duit. Barang kemas habis kena gadai, simpanan dah licin.

‘‘Saya dah puas merayu, menangis dan cuba ajak berbincang, tapi bila nak buka mulut aja dia kata saya suka membebel, ungkit cerita lama, akhirnya saya makan hati berulam jantung.

‘‘Raya tahun lalu dia beli motosikal tanpa pengetahuan saya, menambah hutang lagi, bila saya tanya mana ambil duit dia kata duit dia, maklum kakitangan kerajaan dapat durian runtuh. Saya kata daripada beli motor lebih baik habiskan hutang kereta dan hutang benda-benda lain yang dia suka hutang, dia marah saya kerana campur urusan duit gaji dia.

‘‘Sebelum raya dulu dia sibuk suruh saya beli komputer laptop. Saya kata, saya lebih perlu pakai komputer bukan dia yang tak ada kena mengena tu, tapi dia tak peduli, sebab dia suka boleh bawa ke mana saja. Nak berlagak bila balik kampung dan bila jiran bertanya. Bila saya tak belikan dia beli sendiri. Hutang lagi.

‘‘Tapi saya dah nekad lepas raya saya nak berhenti kerja, tambahan pula saya dah tak tahan melayan kerenahnya, saya tanya pendapatnya macam mana kalau saya berhenti kerja bolehkah dia tanggung makan minum kami anak beranak, dia kata nak berhenti, berhentilah!

‘‘Kini saya tak bekerja, barang kemas dah habis kerana bayar hutang kad kredit saya yang digunakan membeli barangan idaman Rosman, dan saya rasa kesabaran saya dah di penghujungnya, biarlah dia pulak tanggung makan minum kami anak beranak.

‘‘Bab makan saya dah ajar anak-anak makan nasi dengan telor kicap pun boleh, tapi Roslan tak mahu makan kalau ikan bertulang dan tak ada ayam. Sekarang biarlah dia beli dan sediakan untuk kami, pada saya apa dia beli itu kami makan kalau tidak makan bubur pun boleh.

‘‘Saya pun tak tahu sampai bila cerita saya ini akan selesai. Apalah dosa saya agaknya sampai saya menerima dugaan maha hebat begini. Hanya kepada Allah saya berserah,’’ Demikian cerita Ezaty panjang lebar.

ARKIB UTUSAN: 28/12/2008