Sirih junjung bawa hajat

Orang Jawa turun ke dusun
Singgah sejenak di pinggir kota
Kami bawa sirih tersusun
Sudilah sepiak pembuka kata

Selain tepak sirih yang dianggap sebagai ibu kepada hantaran bagi majlis pertunangan dan pernikahan, sirih junjung juga tidak banyak bezanya. Menjadi adat masyarakat Melayu ketika majlis berkenaan, sirih junjung bagaikan satu kemestian dalam barang hantaran.

Seperti yang dibincangkan minggu lalu mengenai tepak sirih dalam ruangan ini, penulis teruja untuk berkongsi maklumat mengenai sirih junjung yang juga dianggap sebagai kepala kepada barang hantaran pengantin yang lain.

Juru andam, Sarimah Sidek, berkata sirih junjung turut dikategori termasuk dalam adat Melayu yang memberi maksud kaya dengan bahasa. Seperti tepak sirih, sirih junjung tidak seharusnya diabaikan, malah ia perlu didahulukan sebagai pembuka bicara.

sirih junjung

“Sesetengah masyarakat Melayu berpendapat sekiranya sudah ada sirih junjung untuk mengadakan majlis tunang dan pernikahan maka mereka tidak memerlukan tepak sirih. Tetapi, sebenarnya, tepak sirih boleh digantikan kepada sirih junjung, namun masyarakat menjadikan kedua-dua barangan adat berkenaan sebagai satu kemestian.

“Pelbagai gubahan sirih junjung dibuat bagi memartabatkan simbol utama Kemelayuan dalam adat dan budaya. Selari dengan anak muda bergaya moden kini, sirih junjung jarang dilihat digubah mengikut cara dulu, tetapi ditambah dengan bunga segar untuk lebih menarik,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Masyarakat Malaysia kini juga menjadikan sirih junjung sebagai tempat dalam beberapa majlis rasmi negara. Kebiasaannya sirih junjung dalam jumlah tidak kurang daripada 10 pahar (sejenis dulang berkaki) akan mengiringi perarakan atau dijadikan penyeri pada sesuatu majlis.

Begitu pun, pada zaman dulu, Raja-raja Melayu menggunakan sirih junjung sebagai alat istiadat pertabalan Raja atau Sultan, terutama di Kelantan.

Sarimah berkata, ada beberapa jenis sirih di negara ini dan yang paling cantik dari segi bentuk dan kualiti warna ialah sirih Melayu yang dikatakan sesuai untuk dijadikan sirih junjung.

Begitu pun, memandangkan hari ini semakin sukar memperoleh sirih segar, banyak sirih plastik disediakan untuk membuat sirih junjung. Malah, penggunaan sirih plastik itu dikatakan lebih digemari masyarakat hari ini kerana sirih segar mudah layu dan rosak, sekali gus mencacatkan sirih junjung.

“Sirih plastik tidak cantik dan sudah tentu tidak boleh dimakan. Orang dulu-dulu ada mengata bahawa untuk bertemu jodoh dengan cepat kena makan sirih hantaran pengantin perempuan. Jika ada gubahan sirih junjung, pilih sirih yang paling atas puncaknya supaya dapat ketemu jodoh dengan cepat,” katanya yang sudah berkecimpung dalam dunia andaman sejak lebih 20 tahun lalu.

Zaman silih berganti, rekaan sirih junjung juga sudah berubah, tidak lagi berbentuk tajam pada bahagian atas yang lazimnya dihiasi bunga. Kini rekaan sirih junjung lebih kontemporari dan yang digubah dengan pelbagai bentuk seperti bangunan atau masjid. Penggunaan bunga segar seperti mawar, dahlia dan kekwa antara lain menyerikan lagi gubahan sirih junjung.

Selain itu untuk menambah keharuman pada sirih junjung selalunya wangian akan disembur seperti pada bunga rampai atau air mawar.

INFO: Sirih

  • Sejenis tumbuhan yang terdapat di Malaysia juga di kawasan Tropika Asia, Madagascar, Timur Afrika dan Hindia Barat.
  • Sirih yang boleh didapati di Semenanjung Malaysia terdiri daripada empat jenis:

 

– sirih Melayu – berdaun lebar dan warnanya hijau pekat.

– sirih Cina – rasanya lebih lembut

– sirih Keling – bersaiz sederhana, berwarna kehijauan kusam, rasanya yang lebih pedas serta daunnya agak keras ketika dimakan.

– sirih Udang – urat daun di belakangnya dan gagangnya berwarna merah.

  • Sifat tabii sirih – sejenis pepohon yang menjalar dan memanjat pada batang pokok sekelilingnya atau kayu junjung.
  • Bentuk daun – bujur
  • Daun sirih subur : berukuran antara 8sm – 12sm( lebar) dan 10sm – 15sm (panjang).
  • Sirih sesuai hidup di atas tanah gembur yang tidak terlalu lembap
  • Memerlukan cuaca tropika untuk membiak subur dengan air yang mencukupi.

 

Oleh Hidayah Mohammad (Berita Harian)