Sperma Lemah

Oleh Pakar Sakit Tuan, Dr Ismail Thamby

Lelaki sihat menghasilkan 200 hingga 300 juta sperma berkualiti sehari atau secara purata 70,000 sperma seminit.

Proses pembiakan sperma untuk satu pusingan mengambil masa 90 hari.

Justeru, jika seseorang lelaki diberi ubat untuk merangsangkan pembiakan sperma, dia perlu memakan ubat itu sekurang-kurangnya 90 hari atau tiga bulan.

Pada masa ini, ujian air mani satu-satunya kaedah yang dapat menentukan sama ada seseorang lelaki itu ada menghasilkan sperma. Jika ada sperma, ini bermakna lelaki itu tidak mandul.

Namun jika bilangan sperma dihasilkan kurang, keadaan itu dikenali sebagai ‘Oligospermia’ atau ‘Oligozoospermia’.

Bagi lelaki yang ada banyak sperma tetapi sebilangan besar tidak berbentuk normal atau kurang 30 peratus berbentuk tidak normal, keadaan itu dikenali sebagai ‘Teratospermia’, manakala jika sebilangan besar sperma itu tidak bergerak aktif dan sehala atau lebih 40 peratus sperma tidak bergerak aktif, masalah itu dikenali sebagai ‘Asthenospermia’.

Kadangkala semua masalah sperma itu berlaku sekali gus dengan bilangan sperma kurang, termasuk peratusan sperma yang kurang aktif dan yang berbentuk tidak normal. Keadaan itu dikenali sebagai Sindrom OTA (Oligo, Terato dan Astheno).

Pemeriksaan yang akan dilakukan ialah mengukur kedua-dua buah zakar dengan alat Orkidometer dan jikaperlu menjalani ujian hormon kesuburan FSH sebelum apa-apa rawatan.

Aspek fizikal juga perlu dalam mengatasi masalah sperma seperti perlu mengelak pakaian ketat, merokok, terdedah kepada bahang dan suasana tempat kerja yang berisiko merosakkan sperma seperti panas dan terdedah kepada kimia.

Masalah sperma sama ada kurang bilangan, kurang aktif atau kurang sperma berbentuk normal boleh berlaku pada bila-bila masa.

Ada lelaki yang satu ketika dulu mempunyai bilangan dan kualiti sperma cemerlang kemudian menghadapi masalah berkenaan.

Perlu diingatkan, masalah sperma boleh berlaku kepada lelaki yang sebelum ini dapat menghamilkan pasangannya tetapi kemudian mendapati dirinya gagal berikutan masalah sperma yang tercetus.

Sebilangan lelaki ada buah zakar kecil, sekali gus kilang spermanya tidak dapat menghasilkan sperma atau menghasilkan kurang sperma. Ada yang mengalami masalah hormon dan jika ubat penyubur diberikan, keadaan mereka akan pulih.

Jalani pemeriksaan kesuburan bersama pasangan.

Usah berlengah mendapatkan rawatan kerana lagi cepat masalah dikesan, lebih mudah dan cepat kaedah untuk mengatasi masalah kesuburan itu dapat dijalankan.

Ada juga lelaki mengalami masalah pembuluh darah buah zakar yang berpintal-pintal dan ini dikenali sebagai Varikosel.