Suami layari video lucah di Internet

Saya mempunyai suami yang baik, bertanggungjawab dan menyayangi saya serta anak. Kami baru menimang cahaya mata yang kini berusia tiga bulan.

Masalah yang dihadapi kini adalah suami kurang memberi perhatian kepada hubungan kelamin. Sering kali saya yang kena mulakan dulu. Sebagai seorang wanita, saya malu dan ada maruah.

Pernah saya cuba untuk tidak memulakan dulu, tapi kesudahannya memang takkan berlaku hubungan itu. Saya sangat terganggu dan rasa marah dan malu. Lebih-lebih lagi apabila saya terjumpa gambar dan video lucah yang dia layari di Internet.

Saya sentiasa berhias untuk suami, jaga kesihatan luar dan dalam, menggoda suami saya secara tidak langsung. Di tempat kerja saya tidak boleh menumpukan perhatian terutama apabila teringat simpanan gambar lucah milik suami.

Apakah bentuk penyelesaian terbaik yang boleh saya lakukan Dr?

ZARA,

Melaka

Jawapan

ANTARA kebaikan berkahwin ialah mendapat anak dan menjaga diri daripada godaan nafsu dan syaitan. Islam melihat hubungan seksual antara suami isteri sebagai ramuan kepada kebahagiaan hidup berumahtangga.

Ini kerana hubungan seksual memberi kepuasan batiniah kepada suami isteri. Menurut Imam al-Ghazali, seorang suami tidak boleh membiarkan isteri tanpa nafkah batin lebih daripada tiga hari.

Ia berdasarkan kiraan suami yang berpoligami dan mempunyai empat isteri. Suami perlu tahu keinginan isteri dan jangan membiarkan isteri tanpa disentuh dalam tempoh tertentu.

Ini ditambah dengan sifat isteri yang masih muda dan malu-malu. Suami pula jangan menjadi dingin kepada kehendak isteri. Berkenaan suami yang menyimpan gambar dan melayari video lucah di Internet, ia perlu dimaklumkan kepada suami sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Contohnya, puan boleh memulakan cerita mengenai kes itu dan berharap suami tidak berbuat demikian. Kadang-kadang suami berbuat demikian kerana keadaan puan yang mengandung sebelum ini hingga tidak dapat melayan kehendak batinnya.

Bagaimanapun, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk melayari laman lucah di Internet.