Syarat rujuk selepas bercerai

Syarat rujuk selepas bercerai

Rujuk dari segi syarak bermaksud mengembalikan isteri yang telah ditalak raji’e kepada perkahwinan asal sebagai isteri sepenuhnya semasa dalam edah dengan syarat tertentu.

Rumah tangga tidak sunyi daripada dugaan dan cubaan yang boleh menggugat serta meleraikan ikatan perkahwinan. Banyak sebab menjadi punca berlaku permasalahan dalam rumah tangga seperti tidak faham hak dan tanggungjawab, faktor kewangan, campur tangan keluarga dan lainlain.

Oleh itu, ada kalanya perceraian berlaku bukan disengajakan tetapi akibat terlepas kata lafaz cerai disorong nafsu amarah atau ego masing-masing ketika itu. Seperti mana kita maklum, talak halal tetapi sangat dibenci oleh Allah.

Terdapat dua jenis talak iaitu talak raji’e dan talak bain. Hanya talak raj’ie saja yang boleh dirujuk dengan syarat tertentu tetapi talak bain tidak boleh dirujuk. Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, talak bain boleh disatukan dengan melakukan akad nikah semula.

Kali ini kita akan menumpukan kepada rujuk iaitu penyatuan semula suami isteri selepas berlakunya perceraian tanpa perlu diadakan akad nikah semula.

Firman Allah SWT: “Dan suami-suami mereka adalah lebih berhak untuk mengembalikan (rujuk) mereka (isteriisteri yang dicerai itu) kepada mereka pada waktu sedang dalam edah jika mereka ingin berbaik.” (Surah alBaqarah, ayat 228)

Tiga rukun rujuk

Rujuk tidak sah kecuali memenuhi tiga rukun rujuk iaitu pihak yang merujuk (suami), orang yang dirujuk (isteri) dan lafaz.

Selain itu, beberapa syarat juga harus dipatuhi untuk menjadikan rujuk sah iaitu suami layak untuk berkahwin dan membuat pilihan sendiri kerana rujuk seseorang yang gila, melalui paksaan yang memudaratkan atau orang yang telah murtad adalah tidak sah.

Isteri yang dicerai masih dalam edah, isteri itu sebelum perceraian telah disetubuhi. Jika isteri belum disetubuhi ketika bercerai, maka tidak boleh dirujuk disebabkan talaknya menjadi talak bain di mana isteri tidak wajib beriddah.

Firman Allah SWT: “Hai orang yang beriman, apabila kamu menikahi perempuanperempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu mencampurinya (menyetubuhinya) maka tidaklah wajib atas mereka edah bagimu yang kamu minta menyempurnakannya.” (Surah alAhzab, ayat 49)

Hendaklah perceraian itu dengan talak. Maka tidak sah rujuk isteri jika perceraian berlaku selain dari talak seperti fasakh dan khuluq (tebus talak). Rujuk itu hendaklah berlaku sebelum berakhirnya tempoh edah.

Lafaz bagi sesuatu rujuk itu boleh berlaku dengan lafaz nyata dan penggunaan ayat `rujuk’ seperti maksud hadis Rasulullah SAW: “Tiga perkara yang jika dibuat mainmain akan jadi betul (sah) dan jika dibuat betulbetul juga akan menjadi betul (sah) iaitu nikah, cerai dan rujuk.”

Manakala bagi lafaz kiasan yang boleh membawa kepada maksud rujuk, rujuk itu menjadi sah jika disertakan dengan niat untuk merujuk isteri.

Larangan edah

Persoalan yang timbul adakah sah jika merujuk dengan perbuatan seperti berjimak dengan isteri yang telah diceraikan semasa dalam tempoh edah?

Mengikut Mazhab Shafie, hukumnya adalah tidak sah rujuk dengan perbuatan tanpa lafaz, bahkan hukum berjimak itu menjadi haram kerana talak menghilangkan status perkahwinan. Manakala bagi mazhab lain, hukum rujuk dengan perbuatan adalah sah.

Justeru, kita perlu berhatihati dan mengetahui rukun serta syarat sah untuk rujuk bagi memastikan percampuran semula suami isteri itu sah di sisi hukum syarak supaya anak yang lahir selepas rujuk tidak dikhuatiri status sahnya.

Undang-undang di Malaysia telah menetapkan bahawa untuk merekodkan semula rujuk, pihak-pihak yang berkenaan hanya perlu melaporkan kepada pejabat agama yang berkenaan tanpa perlu rujukan dan perintah mahkamah.

Adalah dinasihatkan pihakpihak yang telah bersetuju untuk merujuk harus segera melaporkan rujuk dan mendapatkan sijil rujuk yang sah untuk mengelak sebarang kekeliruan, serta dengan izin Allah, dapat meneruskan kembali hidup berumahtangga demi kebaikan bersama.

Tindakan itu perlu terutama bagi pasangan yang mempunyai anak yang mungkin terkesan dengan perceraian yang telah berlaku.

By Moeis Basri
* Penulis ialah Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)