Tanda mangsa sihir pemisah atau pembenci

Tanda mangsa sihir pemisah atau pembenci

- Timbul rasa benci amat sangat tanpa sebab yang jelas. Keadaan seperti ini berlaku kepada salah seorang daripada pasangan atau kedua-duanya sekali.

- Perselisihan faham, pertengkaran antara pasangan tanpa sebab termasuk hal kecil dan tidak munasabah.

- Suasana keluarga sentiasa tegang dan kucar-kacir.

- Timbul rasa waswas syaitan dalam hati boleh menyebabkan suami atau isteri takut mendekati pasangannya.

- Terasa seolah-olah pasangan hendak menganiayai dirinya.

- Timbul rasa curiga dan cemburu amat sangat menyebabkan pasangan berasa berang.

- Pasangan melarikan diri, enggan duduk berhampiran ataupun tidur sebilik.

- Rasa resah gelisah, sakit kepala dan buntu.

- Berlaku perubahan rupa pada pandangan mata.

Empat tahun usia perkahwinan Ameera dan Kamarul segala-galanya berjalan baik. Sejak beberapa bulan lalu bagaikan ada yang tidak kena apabila mereka sering bertengkar. Sebelum ini, apabila bertengkar masingmasing saling memujuk bagi meredakan pertelingkahan.

Kini, kesilapan kecil berlarutan sehingga menjadi besar. Ameera selalu melontarkan kata-kata melukakan hati suami dan kata dia rimas duduk serumah serta ingin berpindah. Hubungan mereka semakin dingin sehingga Ameera meminta diceraikan dengan alasan sudah tiada kasih dan sayang.

Kisah Ameera dan Kamarul memerlukan cara penyelesaian baik. Secara fizikal, dilihat tiada dalang punca rumah tangga goyah. Bagaimanapun, selepas pasangan suami isteri berkenaan mendapatkan rawatan perubatan Islam ada perkara terselindung dan menjadi rumah tangga hampir runtuh. Punca sebenarnya, angkara sihir pemisah yang sememangnya bertujuan menghancurkan ikatan mereka.

Pengamal Perubatan Islam Sinar Zamdurrani, Helmy Nizam Johan, berkata hal rumah tangga sebegitu memang berlaku bukan atas kehendak pasangan masingmasing.

Helmy berkata, sihir pemisah bertujuan memisahkan pasangan suami isteri atas sebab tertentu, selalunya berkaitan masalah peribadi, dengki, balas dendam, khianat dan sebagainya

Balas dendam

Katanya, dalam Surah Al-Baqarah ayat 102, Allah ada menjelaskan ilmu sihir boleh menceraikan antara suami dengan isteri yang berlaku dari zaman dulu dan tidak dianggap perkara baru.

“Dalam kebanyakan kes, isteri selalu menjadi mangsa sihir. Lazimnya, sihir jenis ini boleh menyebabkan timbulnya rasa amat benci dengan tiba-tiba, berlaku syak-wasangka tidak boleh bertolak ansur, rasa hendak marah dan menyebabkan berlakunya perselisihan faham biarpun atas sebab kecil,” katanya ditemui baru-baru ini.

Beliau yang mengendalikan antara 15 hingga 20 kes sebulan mengubati kes sihir, berkata dalam satu kes yang pernah dibantu, selepas dikaji selidik sejarah silam mangsa, didapati bekas kekasih membuat onar kerana ingin membalas dendam lamarannya ditolak. Akibat sihir pemisah yang `ditujukan’, mangsa tidak boleh bersatu dengan pasangannya. Keadaan itu membuatkan kedua-dua pasangan tertekan.

Tambahnya, sihir pemisah juga boleh memisahkan anak dengan ibu, anak dengan bapa, adik-beradik, di antara teman, rakan syarikat perniagaan dan lain-lainnya. Namun, perpisahan di antara pasangan suami isteri paling bahaya dan banyak berlaku.

Guna jampi

Helmy berkata, antara tanda seseorang terkena sihir pemisah ialah perubahan secara tiba-tiba dari sayang menjadi benci.

Tanda lain ialah berlaku keraguan melampau antara suami isteri, enggan memohon maaf dan membesar-besarkan perselisihan kecil.

Dalam sesetengah kes, suami melihat isterinya berwajah hodoh, biarpun isterinya cantik serta benci setiap perbuatan dilakukan pasangan.

“Sihir pemisah ini boleh dilakukan pelbagai cara dan menggunakan beberapa barangan tertentu termasuk barang milik mangsa seperti gambar, baju, rambut dan sebagainya, kemudian di-jampi serapah bomoh bagi memastikan hajat tercapai. Ada yang menggunakan barangan minyak atau air jampi dan membubuh sesuatu yang sudah jampi dalam makanan dan minuman. Yang penting, hajat memisahkan pasangan tertunai,” katanya.

Helmy berkata, sihir pemisah bukan saja boleh dilakukan individu yang ada masalah peribadi dengan mangsa, tetapi juga disebabkan saka sayangkan keturunan dan berkaitan makhluk halus mempunyai niat dan tidak suka melihat pasangan hidup harmoni.

Pasangan yang sudah nampak ada tanda-tanda terkena sihir disarankan segera mendapatkan rawatan sebelum menjadi lebih buruk iaitu perceraian.

Jaga solat

Pada masa sama, individu dinasihatkan sentiasa menjaga solat lima waktu sebagai benteng kekuatan jiwa dan kerohanian sekali gus mengelakkan perkara buruk.

“Perlu diingatkan, jin dan syaitan memang tidak suka umat Nabi Muhammad SAW berzuriat. Antara ayat boleh diamalkan mengelakkan gangguan jin dan syaitan ialah ayat Qursi, al-Baqarah dan surah Yasin.

“Suami atau isteri perlu memahami dan banyak bersabar dengan pasangan yang sememangnya bukan kemahuan atau tidak sedar perubahan berlaku pada dirinya,” katanya.

Diganggu makhluk halus

Lebih dua tahun menetap di luar negara kerana melanjutkan pelajaran, Farid dan isteri, Rohaya akhirnya kembali ke tanah air dan tinggal di rumah mereka yang sudah lama ditinggalkan kosong.

Kata Farid, rumah itu dibeli sebelum melanjutkan pelajaran dan dibiarkan tanpa penghuni sepanjang dia dan isteri berada di luar negara. Farid mengadakan doa selamat dan membaca Yasin sebagai tanda kesyukuran untuk memulakan kehidupan di rumah baru itu bersama isteri dan anaknya yang baru berusia tiga tahun.

Sebulan menduduki rumah itu, segala-galanya harmoni, tetapi selepas itu Farid dan isteri mula berasa diganggu dengan pelbagai perkara pelik. Antaranya, setiap malam akan terdengar orang mengetuk pintu, melontar guli dan ada sesuatu yang berlari di atas siling.

“Isteri saya sering melihat lembaga hitam muncul di dapur dan pintu utama bilik tidur. Loceng amaran dipasang di depan pintu bilik tidur kami pula sering berbunyi,” cerita Farid.

Berdepan beberapa kejadian itu, Farid dan isteri kemudian berjumpa ustaz membantu menyelesaikan masalah itu dan sering memastikan rumah mereka sentiasa dialunkan dengan bacaan ayat suci al-Quran serta Yasin, di samping pernah membuat sembahyang hajat. Namun, gangguan di rumah itu masih ada.

“Isteri saya sering mengadu sakit kepala dan kaki terutama selepas Maghrib. Kata isteri, dia berasakan ada sesuatu benda bergerak di kakinya. Selepas mencuba beberapa kaedah rawatan, akhirnya saya bersama isteri mencuba rawatan di Perubatan Islam Sinar Zamdurrani. Kali pertama buat rawatan di situ, barulah kami tahu ada makhluk halus mengganggu isteri saya. Makhluk halus ini seolah-olah tidak suka saya bersama dengan isteri, kata Farid.