Tertuduh sumbang mahram buka langkah seribu

`Terperanjat` mendengar hukuman penjara 23 tahun dan 30 kali sebatan yang dijatuhkan sebagai balasan merogol anak kandung, seorang bapa hari ini melompat keluar dari Mahkamah Sesyen di sini dengan harapan dapat meloloskan diri.

Tindakan spontan bapa berusia 39 tahun melompat keluar sejurus hukuman dijatuhkan Hakim Hasbi Hasan. Tindakan tertuduh menimbulkan suasana panik di dalam mahkamah.

Pada mulanya, lelaki yang bertubuh kecil telah melompat kandang tertuduh sebelum melanggar pintu keluar di bahagian tepi mahkamah. Tanpa memandang kiri dan kanan, dia melompat pula palang besi ke bawah tebing setinggi dua setengah meter kira-kira jam 4.30 petang.

Tidak patah semangat, dia sekali melompat turun ke kawasan tapak pembinaan yang dipenuhi dengan besi cerucuk tanpa menghiraukan keselamatannya.

Namun tindakan pantas dua anggota polis yang mengejar sambil menjerit tangkap! tangkap! beberapa kali ke arah beberapa pekerja di kawasan projek pembinaan bangunan tambahan mahkamah itu, telah membantutkan hasrat tertuduh.

Dalam kejadian, tertuduh berjaya ditangkap dengan bantuan pekerja pembinaan yang terus mengikat tangannya dengan tali.

Terdahulunya, selepas mendengar rayuan lelaki yang mempunyai dua rekod jenayah lampau, Hasbi menjatuhkan hukuman penjara 23 tahun, 30 sebatan bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Dia mengaku melakukan perbuatan sumbang mahram ke atas mangsa yang berusia 13 tahun enam bulan pada pukul 12 tengah hari , 2 Mac 2008 di rumah mereka di Gombak. Ketika itu, isterinya tiada di rumah kerana menghadiri majlis kenduri.

Tertuduh mengaku mengulangi perbuatannya pada pukul 8 pagi, 14 Mac tahun yang sama ketika isterinya tiada di rumah.

Sementara dalam kejadian ketiga, mangsa dirogol ketika ibunya pergi membuat pemeriksaan perut di sebuah klinik kerana mengandung. – Utusan.