Tip Penjagaan Rambut

Tahukah anda, setiap kali kita marah, sedih, kecewa, berdebar-debar, tegang, tertekan atau bimbang, adrenalin akan memasuki saluran darah lalu menyebabkan jantung berdegup pantas. Ini akhirnya memberi tekanan kepada sistem kardiovaskular.

Namun, setiap kali anda berjaya mengurangkan salah satu daripada emosi ini, ia akan memberi manfaat kepada pertumbuhan rambut sekali gus menjadikan hidup lebih tenang.

Rambut adalah sebahagian organ kulit manusia dan paling akhir menerima nutrien selepas keseluruhan anggota badan menerima nutrisi secukupnya. Rambut yang bermasalah sebenarnya gambaran jelas bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam amalan gaya hidup individu.

Kebanyakan individu yang mengalami pelbagai masalah rambut termasuk botak; gugur; botak bertompok; beruban; gugur selepas bersalin; kelemumur; masalah kulit kepala; rambut bercabang dan pelbagai lagi masalah lain sebenarnya berpunca daripada amalan gaya hidup tidak baik.

Rutin pencegahan adalah amalan terbaik dalam berdepan sebarang situasi sama ada dalam aspek kesihatan dan keselamatan termasuk penjagaan rambut.

Pertamanya, bagaimana hendak menguruskan rambut seperti pilihan syampu; cara mencuci rambut atau jenis produk yang diguna perlu sesuai seperti jangan terlalu berminyak atau selepas mencuci, pastikan syampu tidak terlekat di rambut kerana membahayakan kulit kepala yang perlu bernafas.Paling penting, setiap individu perlu tahu menguruskan emosi.

Kehidupan di bandar cukup mencabar. Bayangkan saja tekanan dan ketegangan yang perlu dilalui saban hari terutama wanita secara semula jadi akan lebih banyak berfikir dan menanggung beban tanggungjawab sebagai anak, ibu, isteri dan pekerja.
Cuba cari ketenangan dengan bercuti, melakukan senaman atau apa saja hobi yang menenangkan fikiran anda.

Tabiat buruk seperti tidur lewat, minum minuman keras dan merokok juga memberi kesan buruk kepada tahap kesihatan seseorang. Menurutnya, mereka yang mengamalkan tabiat buruk ini lazimnya sering tidak sihat berbanding individu cergas.

Bagi mereka yang tidak normal, peluh lebih banyak keluar melalui kulit kepala menyebabkan rembesan sebum lebih banyak. Ini menjadi punca hormon tidak seimbang.
Perokok dan mereka yang mengambil minuman beralkohol secara automatik akan kehilangan beberapa vitamin dan mineral dalam pemakanan. Walaupun mereka makan banyak, namun tubuh seperti tidak cukup nutrisi. Ia digunakan untuk nyah toksik nikotin dan alkohol dalam rokok dan sebagainya.

Tanggapan masyarakat mengenai diet dan pemakanan juga sering disalah tafsir. Ada menganggap makan sayur sangat baik. Sehubungan itu, mereka hanya mengambil sayur-sayuran sedangkan tubuh memerlukan pelbagai vitamin dan mineral seimbang. Selain sayur-sayuran, tubuh memerlukan daging, ikan, buah-buahan dan telur kerana ia mengandungi protein yang mencukupi untuk rambut tumbuh.

Mereka yang mengalami masalah rambut gugur perlu mengambil protein mencukupi untuk merangsang pertumbuhan rambut.

Pengambilan protein juga mengikut peringkat usia yang berbeza. Kanak- kanak tidak perlu bimbang dengan pengambilan protein kerana mereka gemar memakan daging. Apabila usia semakin meningkat, gigi sudah tidak kuat untuk mengunyah daging, jadi golongan pada usia ini boleh bertukar kepada susu, susu soya dan juga kekacang.

Disebabkan rambut adalah bahagian terakhir menerima nutrien, anda digalakkan mengambil bekalan protein yang mencukupi untuk merangsang pertumbuhan rambut.

Ubah gaya hidup

* Mengubah gaya hidup yang lebih positif dan produktif tidak akan merugikan anda. Merokok akan menyekat arteri dan kapilari kecil darah sekali gus memperlahankan peredaran darah.

* Kerap mencuci rambut dengan syampu adalah satu kemestian sekurang- kurangnya lima kali seminggu bagi menambah nutrisi pada kulit kepala.

* Sekiranya anda menggunakan sebarang produk penjagaan rambut, ia mesti dicuci dalam masa 24 jam.

* Cuci rambut anda selepas aktiviti senaman berat di gimnasium atau berjoging ketika kulit kepala berpeluh dengan banyak .

* Sekali sekala rawatan menggunakan bahan kimia seperti keriting rambut, meluruskan rambut dan sebagainya boleh dilakukan tetapi terlalu kerap akan menyebabkan rambut pecah.

* Satu lagi sebab mengapa rambut rosak ialah terdedah pada kepanasan dan kulit kepala dengan pengering rambut, minyak panas atau air panas serta menggunakan sikat yang tajam.

* Usah berkongsi sikat rambut.