Tiub fallopio tersumbat

Tiub fallopio tersumbat

Berumur 32 tahun, sudah berumahtangga selama lima tahun tetapi masih belum dikurniakan zuriat.

Pada 2007, saya menjalani pembedahan laparoskopi dan keputusannya doktor memberitahu yang kedua-dua saluran tiub tersumbat. Doktor itu tidak memberikan saya apa-apa ubat untuk kes saya ini tetapi hanya mencadangkan supaya saya membuat kaedah rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) saja.

Persoalannya, sekiranya tiub fallopio tersumbat, adakah peluang untuk mendapatkan zuriat hanya melalui kaedah IVF? Adakah sebarang ubat yang boleh membersihkan saluran yang tersumbat itu?

Ada kenalan menyarankan kepada saya mencuba sejenis ubat tetapi saya takut untuk mengambilnya tanpa pengawasan doktor. Apakah saranan dan nasihat doktor mengenai kes saya ini?

————–

PROSES kehamilan memerlukan beberapa langkah penting. Salah satunya membabitkan tiub fallopio. Tiub fallopio perlulah:

- Tidak tersumbat. Ini membolehkan pertemuan sperma (yang berenang dari dalam faraj) dan telur (yang diambil masuk ke dalam penghujung tiub ini). Tanpa tiub fallopio, pertemuan ini tidak boleh berlaku secara normal.

- Berfungsi. Jejari (fimbria) di penghujung tiub berada hampir dengan permukaan ovari. Setelah berlaku ovulasi, jejari ini akan menyedut telur masuk ke dalam tiub melalui pergerakan berombak. Di permukaan dalam tiub juga terdapat rerambut halus yang menolak sperma dan embrio, serta kelenjar yang menghasilkan rembesan bahan penting dalam perkembangan awal embrio.

Ini bermakna, tiub bukan saja perlu tidak tersumbat, tetapi juga perlu berfungsi elok. Melalui pembedahan laparoskopi yang anda jalani, bahagian luaran tiub dapat dilihat dan laluan dalamnya dapat diuji sama ada tersumbat atau tidak.

Buat masa ini, tidak ada ujian yang dapat menilai sama ada tiub dapat berfungsi atau terjejas. Apa yang nyata, sekiranya benar tiub fallopio anda tersumbat kedua-duanya, maka tidak ada peluang untuk pertemuan sperma dengan telur berlaku di dalamnya.

IVF dapat membantu secara menggantikan tiub ini dengan bekas khas di makmal bagi membolehkan pertemuan terbabit berlaku.

Melalui pembedahan laparoskopi itu, doktor dapat memberitahu anda kemungkinan penyebab tiub terbabit tersumbat melalui ciri tambahan pada organ reproduksi yang lain dan keadaan pelvis keseluruhannya.

Sekiranya ia disebabkan oleh jangkitan pelvis, rawatan antibiotik (lazimnya dua jenis serentak) akan diberikan untuk “membersihkan” kuman.

Bagaimanapun, ubat ini tidak dapat membetulkan parut kerosakan yang sudah terjadi yang lazimnya menjejaskan fungsi tiub. Kebanyakan doktor juga akan merakamkan prosedur itu secara video untuk dijadikan bahan rujukan atau rekod kelak.