Tulang belakang bengkok

Biasanya apabila membincangkan masalah sakit sendi, kebanyakan pesakitnya adalah wanita, sama ada muda atau tua. Di kalangan pesakit artritis kanak-kanak pun bilangan pesakit perempuan lebih ramai daripada lelaki.

Bagaimanapun, ia bukan bermakna lelaki tidak mengalami masalah sakit sendi atau artritis. Di kalangan lelaki ada dua jenis sakit sendi paling lazim, iaitu ankilosing spondilitis dan gout.

Ankilosing spondilitis bermakna keradangan sendi pada tulang belakang, manakala gout pula membabitkan sendi yang lebih ‘sejuk’ seperti kaki.

Tidak seperti wanita, lelaki biasanya cuba menafikan hakikat bahawa mereka ada masalah kesihatan. Mereka hanya mendapatkan rawatan apabila kesakitan tidak tertanggung, iaitu apabila sendi mengalami kerosakan.

“Justeru, usaha meningkatkan kesedaran terhadap artritis sama penting dengan kepatuhan mengambil ubat, selain membuat beberapa perubahan terhadap gaya hidup,” kata Pensyarah Kanan Reumatologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Amir Azlan Zain pada Kongres Awam Tulang dan Sendi anjuran bersama Yayasan Artritis Malaysia (AFM) dan Pusat Perubatan Sunway sempena sambutan Hari Artritis Sedunia, baru-baru ini.

Ankilosing spondilitis

Nama penyakit ini diambil daripada perkataan Latin yang bermakna tulang belakang bengkok. Ini keadaan keradangan sendi yang berpanjangan dan kebanyakannya berlaku pada tulang belakang. Bagaimanapun, bahagian sendi lain juga boleh terbabit.

Insiden penyakit ini rendah iaitu hanya satu peratus daripada jumlah penduduk sesebuah negara. Bagaimanapun, hampir 75 peratus membabitkan lelaki muda dan gejala biasanya bermula dalam lingkungan umur 20 hingga 30 tahun.

Punca sebenar penyakit ini masih tidak diketahui, tetapi dipercayai ada kaitan dengan faktor genetik. Walaupun ia penyakit keturunan, pewarisan terus iaitu daripada ayah kepada anak lelaki jarang berlaku.

Kejadiannya mungkin melangkau satu keturunan atau lebih. Pakar sains berpendapat, faktor persekitaran seperti jangkitan bakteria merangsang masalah radang sendi tulang belakang.

Keradangan ini bukan membabitkan sendi, ligamen dan tendon saja kerana secara perlahan-lahan ia ‘memakan’ tulang bersebelahan dan menyebabkan tulang itu terhakis.

Apabila keradangan berkurang, tulang yang terhakis tadi mula terbentuk semula menggantikan tisu elastik seperti ligamen atau tendon. Ini bermakna dua tulang bersebelahan tidak lagi dihubungkan oleh ligamen atau tendon, sebaliknya disambungkan dengan tulang yang baru terbentuk tadi.

Keradangan berulang secara tidak langsung merangsang pembentukan semula tulang dan akhirnya semua bahagian tulang belakang bercantum menjadi satu.

Ketiadaan elemen penting pada sendi iaitu ligamen dan tendon mengakibatkan tulang belakang hilang keanjalan dan tidak boleh digerakkan seperti biasa. Ini sebabnya pesakit berasa kejang dan sakit apabila cuba menggerakkan badan.

Gejalanya tidak jauh berbeza daripada penyakit sendi atau artritis lain, kecuali kesakitan dan ketegangan lebih banyak dirasai di tulang belakang dan sekitar pinggang.

Apabila penyakit menyerang, pesakit mengalami kekejangan, tidak boleh menggerakkan badan atau terpaksa membongkok sehingga kesakitan hilang.

Gejala

# Kesakitan dan ketegangan secara perlahan-lahan pada belakang badan dan pangkal punggung.

# Pada permulaan, kesakitan mungkin dialami pada sebelah badan saja yang bersilih ganti dengan sebelah badan lagi.

# Ketegangan berlarutan berminggu-minggu atau bulan.

# Mengalami ketegangan sendi, terutama pada waktu pagi, dan berkurang jika melakukan senaman.

# Ketegangan dan kesakitan sendi berlarutan melebihi tiga bulan. Rasa sakit mungkin dirasai sekejap-sekejap.

# Berasa selesa selepas bersenam atau mandi air hangat dan terasa lebih sakit jika berehat saja.

# Lesu, hilang selera makan dan berat badan menurun.

# Demam dan berpeluh pada waktu malam.

# Selepas beberapa tahun, kesakitan menular ke atas hinggalah ke tengkuk. Kesakitan dan bengkak boleh merebak ke rusuk, belikat, paha, pinggul dan tumit.

# Kecacatan klasik seperti kifosis (tulang belakang menjadi kaku dan bengkok) menyebabkan pesakit bongkok. Pada peringkat serius ini, pesakit berasa sangat sakit dan susah bergerak.

Doktor mungkin mengesyaki seseorang lelaki muda menghidap penyakit ini jika mengalami kesakitan belakang melebihi tiga bulan. Bagaimanapun, diagnosis biasanya berdasarkan sejarah keluarga, pemeriksaan fizikal dan ujian sinar-X.

Rawatan

Selain pengambilan ubat anti keradangan bukan steroid (NSAIDs) contohnya Diclofenac, Celecoxib dan Etoricoxib, penggunaan ubat baru seperti agen biologik seperti adalimumab, infliximab serta etanercerpt dapat mengurangkan kemaraan penyakit.

Selain itu, senaman dan fisioterapi yang menggerakkan tulang belakang mampu mengurangkan kesakitan. Antara langkah yang boleh diamalkan ialah:

# Senaman — Senaman adalah langkah paling baik untuk mengelak masalah radang dan ketegangan sendi. Senaman dilakukan secara tetap setiap hari dapat membantu membetulkan kedudukan badan dan meningkatkan keanjalan sendi. Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kesakitan akibat kekejangan sendi.

# Kedudukan badan — Pesakit juga perlu belajar memperbaiki kedudukan badan. Pesakit perlu memastikan badan mereka dalam kedudukan selesa sepanjang masa. Maknanya, tulang belakang perlu dalam keadaan tegak. Duduk membongkok boleh mendatangkan kesan buruk kepada pesakit.

# Laraskan ketinggian bangku — Jika di tempat kerja, laraskan ketinggian bangku supaya anda boleh menaip dengan selesa tanpa memberi tekanan kepada mana-mana sendi, termasuk sendi paha dan lutut.

# Elak duduk di sofa yang terlalu lembut kerana ia mengganggu posisi badan dan meningkatkan rasa sakit.

# Kerap ubah posisi. Tidak bergerak untuk tempoh lama memberi tekanan kepada badan. Cuba gerakkan sendi sekerap mungkin dengan melakukan regangan.

# Jika sendi bengkak dan berasa panas, tuam dengan pek sejuk atau ketulan ais yang dibungkus dengan kain. Sebaliknya jika sendi bengkak tetapi sejuk, tuam dengan pek panas.

Gout

Gout boleh dikategorikan sebagai artritis yang sangat sakit disebabkan pembentukan kristal asid urik pada sendi. Lebih 80 peratus kes membabitkan lelaki pertengahan umur.

Ia jarang berlaku pada lelaki muda, tetapi penyakit lebih teruk jika ia dialami sebelum berumur 30 tahun. Gout biasanya berlaku dalam keturunan.

Dalam kebanyakan kes, gout menyerang sendi kaki, terutama bawah sendi bawah ibu jari. Bagaimanapun, banyak kes gout dilaporkan pada sendi lain seperti buku lali, lutut, pergelangan tangan dan siku.

Kristal asid urik berkumpul di bahagian sendi ini kerana ia ‘lebih sejuk’ daripada sendi di tengah badan. Gout jarang berlaku di sendi tulang belakang, pinggul atau bahu. Malah biasanya dikaitkan dengan kencing manis, obesiti, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

Asid urik adalah bahan sampingan yang terhasil daripada penguraian asid nukleik dalam sel. Badan juga menukar purin dalam makanan kepada asid urik. Antara makanan yang banyak mengandungi purin ialah ikan bilis, asparagus, cendawan, organ dalaman haiwan, ikan sardin dan bayam.

Kandungan asid urik meningkat apabila buah pinggang tidak dapat menyingkir asid ini secukupnya ke dalam air kencing. Tahap asid urik yang tinggi lama kelamaan menyebabkan ia mendap dan membentuk kristal.

Pengambilan alkohol dan makanan kaya purin boleh memburukkan masalah gout. Ini kerana alkohol meningkatkan penghasilan asid urik dan mengganggu kelancaran fungsi buah pinggang membersihkan darah.

Serangan akut gout

Serangan gout yang akut boleh berlaku tanpa tanda amaran. Ia boleh berlaku tiba-tiba dengan rangsangan pemakanan, pengambilan alkohol, kecederaan, tekanan perasaan, keletihan atau penyakit lain.

Pesakit biasanya mengalami kesakitan yang amat sangat pada satu sendi seperti ibu jari kaki atau lutut. Lazimnya serangan berlaku pada waktu malam, menjadi semakin teruk apabila disentuh atau sendi digerakkan.

Serangan boleh terjadi dalam masa beberapa jam. Ketika ini sendi menjadi radang, bengkak dan terasa panas. Sesetengah pesakit juga mungkin demam, menggigil atau berasa tidak sihat ketika serangan gout. Serangan ini mungkin berlanjutan beberapa hari dan kesakitan boleh hilang tanpa mengambil ubat.

Di antara waktu serangan, sendi ada dalam keadaan normal. Jarak antara serangan berbeza-beza dan tiada corak tertentu. Bagaimanapun, tanpa ubat dan jika penyakit berlanjutan, ia boleh menjadi semakin teruk. Serangan menjadi lebih kerap, lama dan berjangkit kepada sendi lain. Dalam keadaan kronik, ia boleh menyebabkan kerosakan tisu yang akhirnya membawa kepada kecacatan sendi.

Menurut Dr Amir, banyak faktor boleh merangsang serangan gout, antaranya:

# Alkohol

# Makanan — Daging merah, makanan laut, terutama yang bercangkerang, serta produk soya

# Obesiti

# Kegagalan buah pinggang

# Pembedahan

# Ubat-ubatan seperti ubat diuretik, sesetengah rawatan anti kanser

“Namun paras asid urik yang tinggi dalam darah dan sakit sendi bukan penanda kepada gout. Ia boleh dipastikan dengan ujian pada cecair sendi kesakitan gout sangat tipikal dan ia perlukan rawatan,” katanya.

Rawatan

Gout boleh dirawat dengan mengambil ubat anti keradangan (untuk mengurangkan kesakitan dan bengkak), kolcisin dan steriod (jarang dan hanya diberi dalam kes tertentu).

Biasanya kesakitan berkurangan perlahan-lahan selepas pesakit mengambil ubat.

Selain ubat, beberapa perkara perlu diberi perhatian pesakit untuk mencegah serangan berulang seperti menurunkan berat badan (bagi pesakit gemuk), mengurangkan minuman beralkohol, berhenti mengambil ubat yang boleh merangsang gout dan hadkan makanan yang kaya purin.

Untuk keterangan lanjut, sila layari laman web www.afm.org.my atau www.uptodate.com/patients

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN