Tunai haji lebih daripada sekali

Allah SWT mengurniakan rezeki kepada seluruh makhluknya tanpa kecuali. Rezeki yang diberi itu berbeza; ada yang rajin berusaha maka dikurniakan lebih. Ada yang kurang berusaha maka dikurniakan-Nya mengikut usahanya.

Bagi yang berkesedaran tinggi digunakan rezeki yang dikurniakan untuk menjadi tetamu Allah SWT mengerjakan ibadat haji dan umrah di Tanah Suci Mekah.

Bagaimanapun kekerapan menunaikan haji dan umrah menimbulkan ketidakpuasan hati sesetengah pihak.

Justeru, perbincangan mengenai implikasi jemaah haji mengerjakan haji lebih daripada sekali telah dibentangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-20 yang bersidang pada 2 April 1988.

Muzakarah mengambil keputusan bersetuju menerima dan menyokong pendapat yang dikemukakan oleh Lembaga Tabung Haji (LTH) iaitu prinsip hukum bahawa implikasi jemaah haji menunaikan haji lebih daripada sekali adalah berkebajikan di dunia dan beroleh ganjaran yang besar di akhirat.

Terserahlah kepada orang perseorangan setelah ia mendahulukan amalan-amalan yang wajib ke atasnya daripada mengerjakan amalan sunat itu.

Ahli Muzakarah mengambil keputusan di atas bersandarkan kepada beberapa hujah seperti berikut:

i. Hukum mengerjakan ibadat haji lebih dari sekali adalah sunat. Perkara ini adalah disandarkan kepada hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a yang bermaksud: “Wahai umat manusia diwajibkan atasmu haji. Tiba-tiba berdiri Aqra’ bin Habis yang bertanya: Apakah pada tiap tahun ya Rasulullah? Jawab Nabi: Jika aku benarkan, tentulah menjadi wajib. Dan seandainya wajib kamu tidaklah akan melakukannya dan tidak sanggup. Haji itu hanya sekali. Maka barang siapa mengerjakan lebih daripada sekali adalah sunat”.

ii. Beberapa hadis telah menyebut secara jelas tentang kelebihan mengerjakan ibadat haji lebih daripada sekali. Antaranya adalah seperti berikut:

a. “Barang siapa yang mengerjakan haji sekali, sesungguhnya ia telah menyempurnakan haji wajibnya, barang siapa yang mengerjakan haji dua kali, sesungguhnya ia telah menghutangkan tuhannya dan barang siapa mengerjakan haji tiga kali, Allah berjanji mengharamkan rambutnya dan tubuhnya daripada bakaran api neraka”.

b. “Perbelanjaan untuk haji sama seperti perbelanjaan di jalan Allah iaitu 700 kali ganda”.

iii. Terdapat juga hadis qudsi yang menunjukkan celaan ke atas orang yang mampu tetapi tidak mengerjakan haji lebih dari sekali. Antaranya seperti hadis berikut yang bermaksud: “Bahawa Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman: Bahawasanya seseorang hamba yang aku telah kurniakan kesihatan tubuh badannya dan aku luaskan kehidupannya selama lima tahun, dia tidak juga mengunjungi Aku, maka tertegahlah dia daripada mendapat pahala dan tersingkirlah dia daripada mendapat keredaan Allah.

iv. Daripada hadis-hadis yang menerangkan kelebihan mengerjakan haji lebih daripada sekali dan juga celaan kepada mereka yang mampu mengerjakan haji lebih daripada sekali tetapi tidak berbuat demikian, dapatlah disimpulkan bahawa orang yang mengerjakan haji lebih daripada sekali itu beroleh kebajikan yang banyak dan ganjaran yang besar.

Bagaimanapun bagi mereka yang mampu mengerjakan ibadat haji lebih daripada sekali tetapi tidak pula mengerjakannya adalah dicela oleh Allah SWT.

v. Implikasi kebajikan dan pahala ialah kesenangan, kebahagiaan dan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Sementara implikasi celaannya pula ialah kesusahan dan kesempitan perasaan kepada kehinaan hidup di dunia dan akhirat.

Penutup

Kesimpulannya sekiranya berkemampuan, seseorang itu dibenarkan menunaikan haji lebih daripada sekali.

Bagaimanapun perlu diingatkan dia hendaklah mendahulukan amalan-amalan wajib yang lain seperti membiayai persekolahan anak-anak, memberi nafkah mencukupi kepada isteri dan ibu bapa yang telah uzur daripada mengerjakan amalan sunat itu (mengerjakan haji kali kedua dan seterusnya adalah sunat).

Oleh Wan Najmiah Wan Mohamed Ali
wannajmiah@jawhar.gov.my

WAN NAJMIAH WAN MOHAMED ALI ialah Penolong Pengarah Bahagian Haji 1, Bahagian Haji, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji.