Ubah sikap individualistik elak penganiayaan depan mata

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah salah seorang daripada kamu berpeluk tubuh dalam keadaan seseorang itu dibelasah secara zalim, kerana laknat akan turun ke atas orang yang menyaksikan ketika mereka tidak mempertahankannya.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Perbuatan zalim adalah perbuatan yang mendatangkan kesusahan atau kemudaratan kepada orang lain, mungkin dalam bentuk mengambil manfaat daripada orang lain dengan cara salah dan melakukan sesuatu yang menimbulkan rasa sakit.

Perbuatan zalim lazimnya dilakukan mereka yang mempunyai kelebihan dan kekuatan berbanding orang dizalimi.

Fenomena kezaliman tidak akan berlaku jika orang yang hendak dizalimi mempunyai kelebihan atau kekuatan sama.

Kelebihan atau kekuatan ini boleh diukur dari pelbagai aspek seperti kekuatan fizikal, kekayaan, kebijaksanaan, kuasa ataupun pengaruh.

Realiti masyarakat hari ini mengamalkan gaya hidup individualistik sehingga sanggup membiarkan penganiayaan dan kezaliman berlaku di depan mata.

Sikap ‘tidak mengambil endah’ ini tidak wajar berlaku kerana sebagai anggota masyarakat setiap individu mesti bersikap saling mengambil berat, sayang-menyayangi dan belas-kasihan antara satu sama lain.

Doa orang yang dizalimi terhadap orang yang menzaliminya sangat mudah dimakbulkan Allah. Oleh itu, perbuatan zalim sebenarnya adalah perbuatan yang merugikan kepada si pelakunya.

Allah boleh memberi hukuman ke atas si pelaku ketika di dunia lagi seperti nasib yang menimpa Firaun.

Malah di akhirat kelak, orang berlaku zalim akan menerima nasib sangat malang kerana kebaikan dimilikinya berpindah kepada orang dizaliminya.

Jika dia tidak mempunyai kebaikan, maka keburukan orang yang teraniaya akan terlempar kepadanya dan akan ditanggung olehnya.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia