Ujian HSG kenal pasti halangan kehamilan

Tidak semua pasangan suami isteri yang telah berkahwin mempunyai peluang untuk menimang cahaya mata. Seringkali ungkapan ‘belum ada rezeki’ digunakan sebagai jawapan klise untuk setiap soalan yang ditanyakan kepada pasangan yang telah berkahwin namun masih tidak mempunyai anak.

Mengecualikan pasangan yang merancang kehamilan, bagi pasangan yang begitu mengharapkan kehadiran cahaya mata dalam rumah tangga pastinya akan berusaha melakukan apa sahaja cara bagi memastikan hasrat dan maksud kesampaian.

Tidak mengira sama ada ikhtiar dilakukan secara saintifik mahupun tradisional, semuanya dengan satu matlamat untuk membolehkan si isteri hamil dan memperoleh cahaya mata yang bakal menyinari rumah tangga mereka.

Menurut Pakar Radiologi Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Norlah Khalil, kesukaran untuk mengandung adalah antara masalah utama yang dihadapi oleh wanita berumah tangga.

“Keadaan ini dipanggil kemandulan, iaitu gagal untuk mengandung dalam jangka waktu yang dianggap normal, biasanya apabila melebihi satu tahun.

“Mengandung namun sering mengalami keguguran juga mungkin terjadi,” jelas beliau ketika ditemui di kliniknya, baru-baru ini.

Menerusi kaedah perubatan saintifik, ujian kesihatan ke atas pasangan-pasangan ini perlu dijalankan.

Ujian dimulakan dengan pemeriksaan terhadap kualiti air mani suami kemudian diikuti dengan tahap kesihatan isteri.

Bagi pemeriksaan untuk isteri, bahagian sistem reproduksi perlu diperiksa dengan teliti bagi menentukan penyebab kepada kegagalan untuk mengandung tersebut.

Antara sebab-sebabnya ialah kelainan rahim sejak lahir seperti rahim didelfi, ketumbuhan dalam rahim dan saluran fallopian tersumbat atau hydrosalpinges, boleh disebabkan infeksi pelvis ( PID) atau endometrosis.

Menurut Dr. Norlah, beberapa cara boleh dilakukan untuk pemeriksaan organ reproduksi wanita untuk tujuan di atas.

Antaranya, melalui ultrasound hysterocontrastsoniography (HyCoSy), laparoscopy dan pemeriksaan X-ray histerosalpingografi (HSG) .

“Histerosalpingografi merupakan satu teknik radiografi mudah, untuk pemeriksaan ruang dalaman rahim dan saluran fallopian, yang dilakukan untuk mencari sebab mengapa seseorang wanita itu sukar mengandung atau kerap mengalami keguguran.

“Teknik ini disarankan dilakukan pada hari ke sembilan atau ke 10

dari tarikh hari pertama kedatangan haid atau setelah darah haid benar-benar berhenti.

“Pesakit dinasihatkan untuk tidak melakukan hubungan kelamin tanpa perlindungan selepas haid hingga tarikh pemeriksaan dilakukan supaya dipastikan wanita tersebut tidak mengandung ketika pemeriksaan HSG dilakukan,” ujar beliau.

Dr. Norlah menambah, pemeriksaan yang terlalu awal atau lewat di separuh akhir kitaran haid patut dielakkan kerana pada waktu itu, dinding rahim mengandungi banyak saluran darah.

Dikhuatiri intravasasi contrast akan berlaku dan mengelirukan interpretasi filem x-ray kelak.

Teknik

Pesakit perlu datang pada tarikh yang telah ditetapkan. Tiada persediaan khas diperlukan dan pesakit tidak perlu berpuasa semalaman.

Dr. Norlah menjelaskan, selepas pembersihan perineuam (bahagian disekitar alat sulit), kanula akan dimasukkan ke dalam servik dan cecair yang dipanggil ‘kontrast media’ akan disuntik ke dalam rahim melalui kanula tersebut.

Cecair kontras ini disuntik secara perlahan-lahan sambil filem-filem kecil (spot films) diambil secara berperingkat-peringkat iaitu semasa cecair kontras memenuhi ruang rahim, salur fallopian serta ruang pelvis.

Gambar-gambar x-ray yang diambil akan disemak dan laporan akan diberi pada pesakit pada hari yang sama.

“Menjalani HSG membolehkan punca kemandulan atau kekerapan keguguran dapat dipastikan dan seterusnya perawatan dapat disarankan.

“Tidak dinafikan ada ramai para isteri yang belum mengetahui tentang HSG dan fungsinya. Kebanyakan wanita juga pasti ingin mengetahui komplikasi sebelum mencuba teknik ini. Di antaranya ialah infeksi.

“Namun, ini jarang sekali berlaku, jika terjadi sekalipun lebih kerap kepada pesakit yang pernah menghidapi jangkitan pelvis (PID) dan pembengkakan tiub (hydrosalpinges).

“Kesakitan minimum juga boleh dirasai disebabkan distensi rahim dan salur fallopian. Reaksi alahan boleh juga berlaku tetapi ini juga sangat kurang terjadi,” tambah beliau.

Bagaimanapun menurutnya, terdapat beberapa langkah yang diimplementasi bagi mengelakkan kesan sampingan.

Antaranya, perineum pesakit dibersihkan terlebih dahulu sebelum pemeriksaan dibuat dan alat-alat yang digunakan adalah alat-alat yang telah dicuci hama.

Antibiotik sebagai prophylaxis diberikan kepada pesakit yang yang berisiko tinggi iaitu mereka yang pernah mengalami jangkitan pelvis dan hydrosalpinges. Ubat penahan sakit atau antispasmodic seperti buscopan juga boleh diberikan kepada pesakit yang kurang daya tahan sakit.

“Kanula perlu dimasukkan ke dalam serviks dengan cermat dan cecair kontras disuntik perlahan-lahan supaya tidak terjadi distensi mengejut pada ruang rahim dan salur fallopian yang mungkin menyebabkan kesakitan,” kata beliau.

Kelebihan HSG

Menurut Dr. Norlah, teknik HSG adalah cepat, mudah dan tepat di mana prosedurnya hanya memakan masa lebih kurang 15 minit.

“Pesakit boleh menjalani kegiatan harian seperti biasa selepas ujian radiografi tersebut.

“HSG juga membolehkan ruang dalam rahim dan salur fallopian dilihat dengan tepat dan agak murah berbanding dengan beberapa teknik pemeriksaan lain,” jelas beliau.

Menurut pemerhatian Dr Norlah, ada wanita yang rahim dan salur fallopiannya didapati tidak bermasalah, mengandung selepas satu atau dua bulan HSG dibuat .

Menurutnya salah satu sebabnya mungkin salur fallopian pada asalnya sempit telah terbuka semasa HSG tersebut dilakukan.

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL